LONDON 23 Julai – Bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson menggantikan Perdana Menteri Britain, Theresa May sebagai pemimpin parti Konservatif baharu selepas menewaskan pencabarnya, Setiausaha Luar Britain, Jeremy Hunt hari ini.
AFP melaporkan, pemimpin berusia 55 tahun yang memulakan karier sebagai wartawan di sebuah akhbar itu bakal mengangkat sumpah jawatan selepas penyandangnya, Theresa May berjumpa Ratu Elizabeth II berhubung peletakan jawatannya secara rasmi, esok.
Dengan ini Johnson bakal mengambil pucuk pemerintahan Britain di tengah-tengah pergolakan politik yang melibatkan perjanjian Brexit dan Brussels.
Berita berkaitan:
Kegagalan May mendapatkan kelulusan Parlimen mengenai perjanjian Brexit memaksa beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai pemimpin Parti Konservatif pada 7 Jun lalu.
Ia mencetuskan persaingan kepemimpinan yang menyaksikan kira-kira 200,000 anggota berbayar parti itu mengambil bahagian. -AFP











