REALITINYA, setiap manusia ada dua penasihat tegar. Khidmat mereka itu hadir tanpa kita sedari dan paling penting, ia dilakukan secara percuma.

Apa yang menariknya, khidmat nasihat itu sering kali menjadi hala tuju hidup kita pada hari berkenaan. Malah, ia juga mungkin menjadi personaliti kita pada masa depan.
Kita juga amat mengenali dua penasihat terbabit. Kita juga sedia maklum kesan bakal kita terima jika menurut apa yang dinasihatkan oleh penasihat terbabit.
Mereka itu dikenali sebagai malaikat dan iblis. Satu yang sering menasihat ke arah kebaikan manakala satu lagi, ke arah keburukan.
Buktinya dalam firman Allah SWT maksudnya: “Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah.” (ar-Rad: 11)
Bagi Iblis pula, Allah berfirman dalam surah al-Hijr:39 maksudnya: “Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperindahkan (segala jenis kemungkaran) kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”
Namun begitu, keputusan sama ada untuk menerima atau menolak khidmat nasihat adalah ditentukan oleh manusia itu sendiri. Ini sejajar dengan peranan sebagai penasihat yang sekadar memberi nasihat atau cadangan bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan yang wujud.
Justeru, dalam memastikan pintu hati kita hanya terbuka kepada bisikan malaikat, maka kita perlu memahami dan mengetahui dengan jelas apakah ciri-ciri bisikan iblis atau syaitan.
Langkah sebegini penting kerana ada ketika bisikan iblis tersebut bukan hanya mengelirukan tetapi seakan-akan selaras dengan bisikan malaikat.











