KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengingatkan persatuan sukan agar pergolakan yang berlaku tidak harus berlarutan sehingga menjejaskan persiapan dan pembangunan atlet negara.
Timbalan menteri, Steven Sim Chee Keong tidak menafikan kemelut yang berlaku dalam Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) turut menjejaskan persiapan atlet para ke Sukan Para ASEAN sekaligus dalam usaha menempah slot ke Sukan Paralimpik Tokyo.
“Kalau saya kata tidak terjejas, itu bohong. Apabila persatuan yang terlibat terpaksa bergelumang dalam pergolakan disebabkan oleh individu yang tidak mengikut undang-undang maka sudah tentu ia akan memberi kesan kepada atlet kita. KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan pastikan perkara sebegini hanya beri kesan yang paling minima kepada atlet.
“Kita akan pastikan atlet dan jurulatih dilindungi daripada kesan negatif. Saya percaya ramai penggiat sukan para tidak mahu perkara ini berlaku hanya disebabkan individu tertentu,” katanya ketika ditemui media di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kg. Pandan, hari ini.
Steven berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan ahli jawatankuasa Persatuan Ragbi Berkerusi Roda Malaysia (MWRF), M. Vedagiri yang mendakwa pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Timbalan Presiden tidak mendapat restu sebahagian besar ahli jawatankuasa persatuan berkenaan.
Terdahulu, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) serta pemilihan Ahli Jawatankuasa MPM bagi penggal 2019-2023 terpaksa ditangguhkan apabila Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang mencabar Khairy untuk kerusi Presiden MPM, telah menghantar notis semakan semula kelayakan Khairy.
Megat Shahriman mendakwa Khairy tidak layak bertanding jawatan berkenaan kerana bekas Menteri Belia dan Sukan itu menggunakan taktik kotor untuk bertanding kerusi nombor satu MPM.
“Seperti saya katakan sebelum ini, semua orang berhak bertanding untuk rebut jawatan dalam persatuan sukan termasuk dalam MPM tetapi syaratnya mereka mesti ikut perlembagaan persatuan. Jika tidak ikut undang-undang, perkara begini akan terjadi. Berlaku penangguhan yang boleh menjejaskan banyak perkara.
“Saya nasihatkan kepada semua, sila ikut peruntukkan yang ditetapkan dalam perlembagaan persatuan masing-masing kerana apabila timbul masalah, yang terkesan ialah atlet dan jurulatih. Jangan berpolitik dalam sukan, fokus kepada pembangunan atlet dan sukan itu sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Steven mengucapkan tahniah dan melahirkan rasa bangga terhadap pemain perseorangan wanita, Boon Wei Ying yang telah meraih pingat gangsa pada Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia di Taiwan, pada Isnin.
Katanya, KBS akan berbincang dengan MSN untuk memastikan Boon mendapat layanan sama rata dengan atlet lain dan diberikan ganjaran sewajarnya kerana telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Pemain kelahiran Melaka berusia 24 tahun itu yang juga merupakan pemenang pingat perak beregu campuran Sukan Deaflympic 2017, dinobatkan pingat gangsa selepas tewas kepada pemain tuan rumah Shen Yan-Ru pada saingan separuh akhir. – BERNAMA











