Bermalam di muzium sempena Hari Kemerdekaan - Utusan Malaysia

Bermalam di muzium sempena Hari Kemerdekaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 22 Julai – Lembaga Muzium Negeri Terengganu mengajak pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini untuk menyertai Program Bermalam di Muzium yang akan diadakan sempena Hari Kemerdekaan pada 30 dan 31 Ogos ini.

Pengarahnya, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, pendaftaran bagi program tradisi tahunan kali ketiga itu masih lagi dibuka dengan menyasarkan penyertaan seramai 160 pelajar pada tahun ini.

Katanya, acara yang diadakan secara serentak di seluruh 35 muzium seluruh negara itu bertujuan memperkukuhkan semangat kemerdekaan dalam kalangan pelajar di samping mendekatkan golongan sasar dengan muzium yang merupakan pusat rujukan dan pendidikan yang menarik untuk dilawati mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Program dimulakan dengan aktiviti rentas rimba dan pelajar berpeluang melihat pelbagai pokok herba, demonstrasi ekskavasi, cara menoreh getah selain menikmati hidangan tradisi lama seperti ubi kayu, pisang rebus dan kopi.

“Antara pengisian menarik lain termasuk perarakan membawa jamong atau obor kelapa, mempelajari cara menyalakan lampu gasolin, pengenalan mengenai sejarah dan kebudayaan Terengganu di samping pengisian ilmiah, permainan tradisional serta pertandingan nyanyian, puisi dan sajak Hari Kemerdekaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Che Muhammad Azmi berkata, bagi acara penutup, peserta berpeluang mencuba pengalaman baharu berkolek perahu di Sungai Terengganu menggunakan perahu kolek milik muzium.

Beliau menarik perhatian, seramai 20 pelajar Yala Rajabhat University di Thailand akan turut menyertai program Bermalam di Muzium Terengganu itu nanti.

Katanya, pada tahun lalu, Muzium Negeri Terengganu menerima penyertaan seramai 147 pelajar dalam program berkenaan.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Mohd. Hafis 010-2323266 atau Zamberi Draman 011-3755 0069 untuk maklumat lanjut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini