KUALA LUMPUR 24 Julai – Tindakan Kementerian Pertahanan yang meneruskan amalan pemberian pangkat kehormat dan pemakaian seragam tentera kepada pihak tertentu khususnya ahli politik dilihat akan memusnahkan prinsip pemisahan kuasa bagi kedua-dua pihak.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Patriot Negara, Leftenan Kolonel (B) Ahmad Ghazali Abu Hassan berkata, perkara tersebut perlu dihentikan segera bagi memastikan aspek pengasingan kuasa antara kedua pihak berkenaan tidak terjejas.
Katanya, pihak berkenaan bagaimanapun masih boleh melakukan tugas mereka khususnya dalam Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (Jakpaw) tanpa pemberian kedudukan mahupun pangkat.
“Saya akui peruntukan sedia ada membolehkan penganugerahan pangkat boleh diberikan kepada mereka, namun mereka juga boleh melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam Jakpaw tanpa diberikan kedudukan.
“Amalan ini dilihat akan memusnahkan prinsip pemisahan kuasa antara tentera dan ahli politik,” katanya seperti dipetik menerusi portal berita FreeMalaysiaToday hari ini.
Semalam, Kementerian Pertahanan menganugerahkan pangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) Askar Wataniah kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di atas kapasiti mereka merupakan Penaung JAKPAW di negeri masing-masing. – UTUSAN ONLINE











