GARDEN CITY, Georgia – Pihak berkuasa negeri Georgia di Amerika Syarikat memberkas seorang wanita atas tindakannya melepaskan tembakan di restoran makanan segera McDonald’s kerana berang menerima hidangan jejari kentang sejuk.
Insiden berlaku di sebuah restoran McDonald’s di sini kira-kira pukul 2.30 petang (waktu tempatan) pada Selasa lalu.
Menurut pemilik restoran, wanita itu memesan hidangan tersebut dan beredar bersama makanannya tetapi kembali semula dan mengadu kentang jejarinya sejuk.
Pengurus restoran itu bersetuju menggantikan hidangan tersebut dengan kentang jejari baharu. Bagaimanapun, wanita itu mengekorinya hingga ke bahagian dapur dan melepaskan tembakan ke lantai, demikian menurut stesen televisyen WTOC.
Pihak berkuasa berkata, pemilik restoran kemudian memulangkan semula wang pelanggan tersebut dan dia terus keluar dari premis itu. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Ketika polis tiba, wanita itu sudah berlalu pergi. Bagaimanapun, pihak berkuasa berjaya menahan kereta suspek tidak lama kemudian dan memberkasnya.
Polis tidak mendedahkan identiti wanita berkenaan. – Agensi











