KATA seorang rakan abang hensem dari negeri Cik Siti Wan Kembang, bahasa yang dipertuturkan oleh salah seorang dari empat remaja yang terlibat dalam insiden pijak al-Quran di Tanah Merah tempoh hari begitu memualkan.
Itu bukan bahasa remaja biasa. Ia bahasa orang yang ‘tersasar’ daripada pergaulan yang baik-baik.
Bila dibabitkan dengan insiden keji itu lagilah ketara perlakuan empat remaja terbabit.
Sebenarnya di mana-mana negeri pun, kita akan terjumpa dengan perilaku remaja yang akalnya tak panjang ini. Walaupun tidak ramai, hanya segelintir berperilaku bak ‘sakit mental’ ini, mak bapak mesti mainkan peranan.
Jangan letak segala batu jemala atas kepala guru. Bila lepas tangan, terjadilah peristiwa pukul guru seperti berlaku di Bachok hari tu. Abang hensem lihat video yang tular saat guru itu dipukul oleh dua lelaki. Tidak ada perikemanusiaan langsung dua suspek itu. Boleh ‘kau orang datang ke sekolah macam gengster pukul seorang guru’.
Betullah kata mangsa dalam video itu yang antara dengar tak dengar…“Ini Malaysia lah” yang barangkali menegaskan, perlakuan samseng hingga ‘mak bapak, pak saudara’ pukul guru amat pelik di negara ini.
Abang hensem sokong habis guru berkenaan. Dan tindakan pantas polis menahan dua suspek ‘tiada hati perut’ itu dan empat remaja tadi.
Siapakah yang memanjakan anak sehingga ia jadi manja dan liar? Siapakah yang membiarkan anak tidak disuruh untuk ikut bekerja sehingga jadi pemalas dan tidak kreatif?
Siapakah yang mengikut sahaja kehendak anak sehingga dia jadi pemboros dan keras kepala?
Siapakah yang tidak berinteraksi dengan anak kerana sibuk mengejar dunia sehingga ia renggang dari ibu bapa dan tidak pandai berbudi pekerti? Siapakah yang tidak tunjukkan cara hidup beragama sehingga anak sanggup hidup seperti jahiliah?
Sebenarnya itu semua bermula dari rumah. Hasil sikap ibu bapa terhadap anak sendiri. Kegagalan mak bapak menerapkan rule and regulation, baundary and limitation menyebabkan anak jadi liar.
Disiplin yang ‘dilonggarkan’ oleh ibu bapa hari ini jugalah menyebabkan anak-anak kosong jiwanya lalu mudah terpengaruh dengan ‘aksi-aksi liar’ di Internet dan rakan sebaya mereka.
Abang hensem harap sangat kalangan pasangan muda hari ini didik anak seperti mana anda terima didikan daripada orang tua anda dulu-dulu.
Boleh dibelai-belai anak itu, tapi ada batasnya.
Teringat abang hensem pernah ‘dibesit’ ayah sebaik saja masuk terjingkit-jingkit ke bilik mandi dari main bola dalam hujan petir ‘bak halilintar membelah bumi’ di Petaling Jaya sekitar awal 80-an.
Nostalgia. Sentimental lah tu.











