KUALA LUMPUR 23 Julai – Bekas Panglima Tentera Darat ke-15, Jeneral Tan Sri Che Md. Noor Mat Arshad, 76 disahkan meninggal dunia akibat kanser.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Awam J7, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Allahyarham meninggal dunia pada pukul 2.15 petang tadi di Pusat Perubatan Subang Jaya dan jenazah akan dibawa ke Masjid Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson untuk diuruskan sebelum dikebumi di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Port Dickson pada petang ini.
“Seluruh warga ATM menzahirkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Ia merupakan kehilangan sebutir permata atas jasa Allahyarham yang banyak menyumbang khidmat bakti serta pengorbanan kepada ATM amnya dan Tentera Darat Malaysia khususnya.
“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh dan beriman,” kata bahagian itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Che Maznah Che Mahamod mula berkhidmat dalam angkatan tentera pada 1 Januari 1962.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 3 Februari 1995.
Beliau menamatkan perkhidmatan pada 31 Mei 1997. – UTUSAN ONLINE











