Anak syarikat tidak langsung KUB jual kilang, tanah bernilai RM44.8 juta - Utusan Malaysia

Anak syarikat tidak langsung KUB jual kilang, tanah bernilai RM44.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Anak syarikat tidak langsung KUB Malaysia Bhd. (KUB), KUB Maju Mill Sdn. Bhd. (KUBMA) dan KUB Sepadu Sdn. Bhd. (KUBS) menjual kilang, peralatan sampingan dan jentera selain tanah pegangan pajak seluas 60 hektar bernilai RM44.8 juta kepada Sinong Pelita Oil Mill Sdn. Bhd. (SPOM).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KUB berkata KUBMA dan KUBS memeterai perjanjian jual beli dengan Sinong Pelita bagi penjualan itu.

KUBMA merupakan pemilik kilang yang terletak di sebahagian tanah yang dijual oleh KUBS, yang merupakan pemunya berdaftar di estet terletak daerah Oya Dalat, Mukah, Sarawak, yang mana tanah itu adalah sebahagian daripadanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kilang itu yang mempunyai nilai bersih (NBV) bernilai RM45.59 juta setakat 31 Dis, 2018 ketika ini dibiayai menerusi debentur bagi kemudahan perbankan kepada KUBMA oleh bank tempatan.

Anggaran NBV bagi tanah itu termasuk tanaman hidup bernilai RM169,858 setakat 31 Dis, 2018. Tanah tersebut ditanam dengan kelapa sawit yang menghasilkan kira-kira 1,826 tan tandan buah segar antara 2016 dan 2018.

Mengenai rasionalisi penjualan, KUB berkata penjualan kilang itu akan membolehkan syarikat menghapuskan aset-aset yang tidak menguntungkan dan mengurangkan aliran keluar tunai dan kemerosotan prestasi kewangan.

“KUBMA akan dapat mengurangkan hutangnya dan perbelanjaan faedah secara ketara dan penjualan tanah itu akan membolehkan KUBS menjana wang daripada aset itu dengan nilai lebih baik memandangkan harga yang ditawarkan SPOM adalah menarik secara komersial.

Penjualan itu akan menambah baik nisbah tahap kadar hutang KUB kepada 0.30 kali berbanding 0.44 kali, berdasarkan keputusan kewangan terkini syarikat itu setakat 31 Mac, 2019.

KUBMA bercadang menggunakan hasil tersebut untuk melunaskan pinjaman banknya dan mengurangkan hutang-hutang lain, manakala hasil untuk KUBS akan digunakan untuk keperluan operasi. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini