AMK Arau, Padang Besar nyatakan sokongan pada Azmin, tolak politik kotor, jijik - Utusan Malaysia

AMK Arau, Padang Besar nyatakan sokongan pada Azmin, tolak politik kotor, jijik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 26 Julai – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Padang Besar dan Arau menyatakan sokongan penuh terhadap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sekali gus menolak sekeras-kerasnya politik adu-domba serta fitnah jijik yang boleh menjejaskan keharmonian parti.

Sokongan tidak berbelah-bahagi itu adalah sama seperti mana pimpinan serta ahli parti itu 
menyokong serta berdiri teguh di belakang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau berhadapan dengan fitnah sama, 20 tahun lalu.

Ketua AMK Cabang Padang Besar, Ahmad Soffi Abdul Manah berkata, pihaknya sentiasa yakin bahawa setiap ahli di dalam organisasi haruslah memberi sokongan yang sesuai dan selayaknya kepada pimpinan parti tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Maka dalam mendepani isu ini, AMK Padang Besar mengambil pendirian menolak sekeras-kerasnya pembawakan politik yang boleh menjejaskan keharmonian parti seperti adu-domba, fitnah jijik dan politik negatif.

“Jadi, atas dasar semangat kebersamaan, AMK Padang Besar menyatakan sokongan yang utuh kepada Mohamed Azmin sebagaimana sokongan yang telah diberi kepada Anwar dahulu ketika berhadapan dengan politik fitnah,” katanya yang juga Ketua Komunikasi AMK negeri dalam
satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketua AMK Cabang Arau, Khairul Aqran Saffie pula berkata, pihaknya juga berdiri teguh mempertahankan Mohamed Azmin daripada sebarang politik fitnah dan kotor sebagaimana mereka mempertahan Anwar sebelum ini.

Tegas beliau yang juga Timbalan Ketua AMK negeri, pihaknya akan memerangi habis-habisan segala bentuk ‘gutter politic’ atau politik kotor sama ada di luar ataupun di dalam parti sendiri.

Dalam masa sama, beliau juga menyokong pendirian Anwar yang menyambut baik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebelum ini bahawa Mohamed Azmin tidak terbabit dalam video seks yang disebarkan dan dikaitkan dengannya.

“Selain itu, kami juga menyeru agar lembaga disiplin parti mengambil tindakan ke atas mana-mana anggota parti yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bersifat melaga-lagakan antara anggota. Dalam hal ini, mana-mana ahli yang menjejaskan keharmonian parti adalah bercanggah dengan seruan penyatuan parti oleh presiden,” katanya.

Katanya lagi, dalam era Malaysia baharu, situasi seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana pemimpin yang berpotensi sepatutnya diangkat bukannya dijatuhkan dengan cara menjijikan.- 

Semalam, AMK negeri menyatakan sokongan penuh kepada Anwar untuk terus menerajui parti itu.

Ketuanya, Nor Azam Karap dilaporkan berkata, pihaknya komited menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh menganggu-gugat kestabilan parti.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini