Al-Sultan Abdullah raja berjiwa rakyat, santuni gelandangan - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah raja berjiwa rakyat, santuni gelandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyantuni kira-kira 250 gelandangan di sekitar ibu negara dalam satu program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

Baginda yang terkenal dengan sifat raja berjiwa rakyat itu mengurniakan 250 beg makanan berisi pek makanan tengah hari dan makanan kering kepada semua gelandangan serta meluangkan masa untuk beramah mesra bersama mereka.

Tanpa mengira darjat dan protokol, kasih sayang baginda pada kanak-kanak jelas terzahir apabila baginda tanpa segan silu mengucup dahi salah seorang anak gelandangan yang menerima sumbangan tersebut bagaikan melayani cucunda baginda sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, baginda turut berkenan melawat tempat menarik dalam kawasan pekarangan masjid bersejarah yang dibina pada tahun 1909 itu seperti pancuran air yang terletak di titik pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Turut hadir sama ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Jawi, Mohd. Ajib Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Restoran Ali Maju, Datuk Jawahar Ali.

Pengarah Jawi, Mohd. Ajib Ismail berkata, pihaknya berasa senang hati dengan penglibatan dan tingkah laku baginda yang sangat bersahaja dan sudi untuk bersama-sama mendirikan solat Zuhur berjemaah bersama rakyat di masjid tersebut.

“Baginda amat berpuas hati dengan program kebajikan sebegini dan berasa gembira kerana berpeluang menyantuni gelandangan. Sebelum berangkat pulang tadi, baginda sempat bertitah bahawa dirinya juga senang hati dengan konsep masjid ini yang dikategorikan sebagai masjid pelancongan.

“Masjid yang menjadi tumpuan pelancong pelbagai negara ini turut menyediakan kaunter al-Quran dalam bahasa Korea, Mandarin, Perancis dan pelbagai lagi.

“Ini adalah satu kaedah kita menjadikan masjid ini sebagai masjid rahmah iaitu yang bersifat ramah, aman, harmoni, alami dan permai dalam menyantuni semua golongan sama ada Islam atau bukan Islam, termasuklah gelandangan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini