DUNGUN 25 Julai – Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd. Ramli cedera di betis dan tangan serta kerugian RM26,000 selepas menjadi mangsa samun seorang lelaki sejurus keluar dari sebuah bank di bandar ini hari ini.
Wan Hassan, 62, mengalami kecederaan setelah bergelut dengan suspek yang meragut begnya di dalam kenderaan jenis Toyota Harrier milik wakil rakyat itu dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu.
Beliau berkata, sejumlah wang itu dikeluarkan daripada bank berkenaan antaranya sebagai harga seekor lembu serta beberapa bahagian di surau untuk ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.
Menurutnya, kejadian berlaku sewaktu beliau masuk ke dalam kenderaannya yang diletakkan di depan kedai kek selepas mengeluarkan wang di bank tersebut.
“Apabila saya duduk saja tiba-tiba pintu depan sebelah pemandu dibuka dan seorang lelaki terus merentap beg saya. Pada masa itu kami bergelut dan saling tarik menarik beg.
“Saya cuba tendang lelaki itu malangnya kaki saya tersangkut pada stereng dan lelaki itu terus melarikan diri bersama beg saya,” katanya di sini hari ini.
Wan Hassan mendakwa beliau gagal mengecam suspek tetapi sempat lihat penjenayah itu membonceng sebuah motosikal selain diekori laju sebuah kereta lain.
Berikutan itu, beliau telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun kira-kira pukul 3 petang tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata, suspek sedang diburu dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun sehingga menyebabkan kecederaan. – UTUSAN ONLINE











