Agong zahirkan pujian kepada pelajar Malaysia kerja sebagai tukang cuci di UK - Utusan Malaysia

Agong zahirkan pujian kepada pelajar Malaysia kerja sebagai tukang cuci di UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kisah seorang pelajar Malaysia yang bekerja sebagai tukang cuci ketika menuntut di United Kingdom semata-mata untuk menghadiahkan tiket penerbangan kepada kedua ibu bapanya hadir ke majlis graduasinya bukan sahaja menyentuh perasaan rakyat Malaysia tetapi mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pujian kepadanya.

Muhammad Afiq Ismail, 23, dari Kuala Krai, Kelantan seperti dilaporkan oleh akhbar berbahasa Melayu bekerja sambilan sehingga 20 jam sehari, dengan membahagikan masa untuk kuliah dan masa lapangnya dengan bekerja sehingga akhirnya berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) di University of Essex, UK.

Kerana tersentuh dengan kisah hidup dan mengagumi usahanya yang bekerja keras dan dedikasi, Seri Paduka dalam satu kenyataan kepada media, menzahirkan ucapan tahniah kepada Afiq atas kejayaannya yang luar biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seri Paduka juga kagum dengan sikap Afiq yang menghormati dan taat kepada kedua ibu bapanya selain mengagumi pengorbanan anak muda itu sehingga membolehkan dia mencapai tahap kejayaan ini. Perjalanan hidup Afiq dan kedua orang tuanya harus menjadi inspirasi kepada semua,” titah baginda.

Kisah Muhammad Afiq baru-baru ini dikongsi di Facebook oleh rakannya dan sejak itu telah tular di media sosial.

Menurut akhbar tersebut, graduan perakaunan dan kewangan itu kini membuat persiapan untuk kembali ke tanah air untuk memulakan kerjaya profesional di sebuah firma audit pada Oktober. – Bernama

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Sebak baca kisah Muhammad Afiq Ismail, 23, yang bekerja sambilan sebagai tukang cuci sehingga 20 jam sehari, dengan membahagikan masa untuk kuliah dan masa lapangnya dengan bekerja sehingga akhirnya berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama (Kepujian) di University of Essex, United Kingdom (UK) baru-baru ini. Lebih terharu, dia bekerja untuk hadiahkan dua tiket penerbangan ke UK kepada kedua ibu bapanya di Kuala Krai, Kelantan untuk hadir pada hari bersejarahnya. “Saya kerja nak dapat duit untuk bawa umi dan baba, mereka tak pernah naik kapal terbang. Saya nak bayar tiket mereka naik flight datang sini, sebagai hadiah buat mereka yang besarkan saya. Saya hanya nak bagi hadiah terbaik buat mereka. Bukan setakat senggengam ijazah, tapi pengalaman berharga untuk dapat tengok anak sendiri terima ijazah”. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut menzahirkan pujian dan ucapan tahniah kerana kagum dengan sikap Afiq yang menghormati kedua ibu bapanya selain mengagumi pengorbanannya sehingga dia berjaya. Semoga kisah ini jadi inspirasi kepada anak muda di luar sana untuk terus berjaya. #kosmo #kisahviral #sebak #tahniah #inspirasi Kredit foto Facebook Muhd Afiq dan Khairul Aiman Hamdan

A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online) on

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini