KUANTAN 25 Julai – Nasi dagang dari sebuah kedai di Pekan dekat sini antara kegemaran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka ternyata tidak dapat ‘menolaknya’ apabila ia terhidang di depan mata.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak melepaskan peluang untuk menikmati hidangan berkenaan ketika singgah di rumah kakitangan Istana Abdulaziz, Abdul Rahim Othman atau lebih dikenali dengan panggilan RBO selepas melawat lokasi kebakaran yang meragut nyawa tiga beranak di Perkampungan Sungai Isap 2 di sini semalam.
Abdul Rahim merupakan jiran kepada mangsa kebakaran tersebut yang mana rumahnya terletak bertentangan.
Selepas melawat tapak kebakaran, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri memasuki rumah Abdul Rahim dan berada situ kira-kira 25 minit.
Abdul Rahim berkata, pada awalnya, dia dan isteri membuat persediaan makanan untuk petugas-petugas persiapan tempat yang terlibat dengan majlis keberangkatan Seri Paduka berdua di Sungai Isap 2 semalam.
“Namun isteri saya mencadangkan supaya buat sahaja ala kadar untuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. Ini kerana tuanku berdua memang sudah biasa datang menikmati santapan di rumah saya beberapa tahun lalu.
“Kali pertama baginda mencemar duli ziarah keluarga ketika banjir besar 2011 dan Ogos 2017 tuanku berdua bercemar duli berangkat majlis kesyukuran sebelum saya tiga beranak menunaikan haji. Turut sama mengiring baginda paduka anakanda putera dan puteri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini
Abdul Rahim berkata, selama lebih 20 tahun bertugas mengiringi Sultan Abdullah, dia sudah mengetahui serba sedikit santapan dan minuman kegemaran Seri Paduka.
“Sehari sebelum tuanku berangkat, saya menempah nasi dagang dan pulut panggang dari Pekan, nasi lemak restoran D’Wafi dan ‘krim puff’ serta 100 biji karipap.
“Semalam Yang di-Pertuan Agong santap nasi dagang, karipap dan minum teh tarik dan air mineral. Raja Permaisuri Agong santap pulut panggang dan karipap,” katanya.
Jelasnya, dia dan keluarganya begitu terharu kerana tidak menyangka Al-Sultan Abdullah yang mempunyai protokol selaku Yang di-Pertuan Agong dan jadual padat sudi singgah di rumah mereka.
“Sebelum itu, saya berjumpa salah seorang pegawai Yang di-Pertuan Agong memaklumkan saya ada menyediakan minuman dan santapan jika tuanku titah singgah, pegawai itu cakap tidak mungkin sebab tak ada dalam jadual program,” katanya. – UTUSAN ONLINE











