KUALA LUMPUR – Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah citra Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah yang saling tak tumpah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah.
Keperibadian Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sebagai insan prihatin, merendah diri dan sentiasa mendampingi rakyat terutamanya semasa bencana sememangnya tidak asing lagi khususnya bagi rakyat Pahang kerana ia sudah menjadi kelaziman bagi keluarga Diraja Pahang sejak sekian lama.
Video tular yang menunjukkan Sultan Abdullah turun mencemar duli dari kenderaan rasmi bagi membantu mangsa kemalangan semasa dalam perjalanan ke mesyuarat pra-Kabinet bersama-sama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Istana Melawati, Putrajaya baru-baru ini, adalah antara sifat peduli rakyat Seri Paduka.
Begitu juga dengan laporan yang menunjukkan Sultan Abdullah beratur sendiri ketika membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di Pahang membuktikan Seri Paduka tidak menjadikan kedudukannya di singgahsana sebagai penghalang untuk mendekati rakyat.
Bertitah mengulas dua laporan itu, Sultan Abdullah menyifatkan kejadian yang ditularkan di media sosial itu bukanlah bagi mendapatkan publisiti sebaliknya merupakan sesuatu yang sudah sebati dan sering dilakukan semasa di Pahang.
“Bukan saya nak pujian, tepukan, nak dapat kredit…saya kata dengan ikhlas, saya akan teruskan. Bukan sekadar daripada Almarhum ayahanda saya, bahkan daripada nenenda saya. Jadi, ini telah sebati dengan kita. Saya lebih selesa kalau saya dengan rakyat.
“Masa hari pertama saya datang sini saya jumpa dengan Perdana Menteri (Dr Mahathir), saya kata ‘Tun, istana terlalu besar untuk saya, saya tidak biasa duduk istana besar’. Dia senyum sahaja, itu yang saya suarakan, saya akan terus cuba dekat dan bersama dengan rakyat walau di sini sekalipun,” titah Seri Paduka.
Sultan Abdullah bertitah demikian ketika wawancara khas bersama-sama media di Istana Negara baru-baru ini sempena pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Julai ini.
Menceritakan kembali kejadian semasa membantu mangsa kemalangan itu, sambil tersenyum Sultan Abdullah bertitah selain ingin membantu sekiranya ada mangsa yang cedera, Seri Paduka juga mempunyai satu lagi sebab tersendiri.
“Selalunya trafik sesak apabila ada kemalangan. Jadi, itu antara sebabnya. Kalau boleh saya nak cepat alihkan kenderaan ke tepi, panggil polis supaya ‘jem’ itu cepat selesai. Itu antara sebabnyalah selain membantu dengan ikhlas.
“Kalau ada kecederaan, kita bantu bawa pergi hospital dan kedua pasal trafik…and now you know (kini, anda tahulah kisahnya),” titah Seri Paduka.
Gara-gara video tular itu, Sultan Abdullah turut berkongsi cerita bahawa ada individu yang membuat panggilan kepada Seri Paduka bertanyakan bila mahu ke Melaka kerana mereka hendak menunggu di sana dan melakukan kemalangan ‘olok-olok’ supaya mereka mendapat peluang dibantu oleh Seri Paduka. – Bernama











