KUALA LUMPUR 25 Julai – Memang ada hasrat dalam kalangan PKR yang didakwa gembira sekiranya Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti tersebut, selepas dilihat tidak lagi sebulu dengan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menyedari terdapat kem lain yang tidak gemarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Hilman Idham percaya fitnah meninggalkan parti itu datang daripada orang yang kalah dan selalu kalah kepada bosnya itu
“Memang hasrat dia supaya Mohamed Azmin keluar dan mereka boleh tunggang parti ini sesuka hati mereka. Malangnya, itu tidak akan berlaku. Mohamed Azmin akan tetap bersama PKR,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini dimaklumkan sumber bahawa Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dijangka keluar daripada PKR dan menyertai Parti Gerakan dalam masa terdekat ini.
Sejak semalam telah timbul ura-ura Mohamed Azmin bersama sebilangan pemimpin dan ahli Parlimen PKR akan meninggalkan parti tersebut ekoran rasa tidak puas hati terhadap Anwar.
Mohamed Azmin dikatakan mengambil langkah itu berikutan pergeserannya dengan Anwar Ibrahim susulan tersebarnya video seks songsang yang dikatakan melibatkan menteri itu.
Hilman menegaskan mustahil untuk melihat Mohamed Azmin meninggalkan PKR.
“Mustahil. Mohamed Azmin menang besar dalam pemilihan parti. Dia ada dokongan yang cukup kuat dalam kalangan pimpinan parti baik dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR.
“Beliau ada keabsahan politik untuk terus bersama PKR, dan PKR adalah asas politik Mohamed Azmin,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia terletak dalam Parlimen Gombak.
Mengulas mengenai spekulasi berkenaan, penganalisis politik, Dr. Ainul Adzellie Hasnul berpandangan langkah menyertai parti Gerakan merupakan antara pilihan yang sesuai buat Mohamed Azmin.
Baginya, ia lebih baik daripada menyertai pesaing utama PKR dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana mungkin akan timbul konflik untuk menyaingi Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Jika ditanya sama ada Mohamed Azmin bakal kehilangan jawatan dalam Kabinet sekiranya bertukar parti, Ainul Adzellie menganggap perkara itu bergantung kepada budi bicara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.-UTUSAN ONLINE











