JELI – Dua ekor gajah bernama Abot dan Rambai melaksanakan tugasannya apabila membantu melancarkan kerja-kerja proses memindah seekor gajah liar yang menceroboh kawasan kebun di Kampung Batu Melintang dekat sini hari ini.
Meskipun mengambil masa hampir lima jam, namun Abot dan Rambai yang bertindak sebagai denak berjaya melaksanakan tugasan dengan begitu sempurna sekali.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan,
Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, gajah jantan seberat dua tan metrik itu berjaya ditangkap pada Ahad lalu selepas bertindak menceroboh kebun milik penduduk dikawasan tersebut.
“Kerja-kerja memindah gajah jantan itu bermula seawal pukul 8.30 pagi membabitkan seramai
22 anggota dari Jabatan Perhilitan Kelantan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, Pahang.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha keras bagi memastikan tugasan ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Tambahnya, awal bulan ini Perhilitan Kelantan telah menerima beberapa aduan mengenai gangguan gajah liar di sekitar kawasan berkenaan.
Ady Ermanty memberitahu, sejurus menerima laporan seramai enam anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli melakukan pemantauan dan berjaya menangkap seekor gajah itu.
Katanya, gajah jantan yang berjaya ditangkap itu adalah dari sekumpulan 30 ekor gajah dari Hutan Simpan Gunong Basor.
“Bagaimanapun, bilangan yang mengganggu kawasan pertanian penduduk ini lebih kurang 10 ekor,” ujarnya.- K! ONLINE











