KOTA BHARU 24 Julai – Sebanyak 40 peratus atau 98 daripada 245 tadika swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan negeri ini diiktiraf sebagai tadika gred A.

Ketua Unit Pendidikan Swasta JPN negeri, Zakaria Hassan berkata, ia berdasarkan pemantauan dalam pelbagai sudut antaranya pengurusan, kemudahan untuk anak-anak, suasana pembelajaran serta sambutan ibu bapa.
Beliau berkata, pihaknya yakin dapat meningkatkan jumlah tadika gred A kepada 50 peratus pada tahun hadapan melalui kerjasama erat jabatan dengan pengusaha tadika termasuklah dari segi latihan dan bimbingan.
“Kita berpuas hati tadika swasta negeri ini beroperasi mengikut apa yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dan mereka mematuhi Akta Pendidikan 1996 serta prosedur operasi demi memberikan pendidikan awal terbaik.
“Pihak jabatan bekerjasama dengan persatuan tadika di negeri ini sama ada dalam penganjuran program atau memberi latihan, jika ada perkembangan terbaharu dari segi kurikulum kita akan segera menyampaikan input ini kepada pengusaha supaya mereka seiring dengan pendidikan pra sekolah arus perdana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas mengiringi lawatan isteri Menteri Pendidikan, Dr Hamidah Tuan Mat ke Tadika Aulad Pintar (TAP) Pasir Tumboh di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Aulad Pintar Education Sdn. Bhd., Mohd Nasrul Baharudin dan Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) negeri, Mohd Ekhwan Mohd Hatta.
Dalam pada itu, Hamidah berkata, beliau teruja melihat kaedah pembelajaran awal kanak-kanak yang diamalkan di TAP Pasir Tumboh yang merupakan antara tadika swasta terbaik di negeri ini sekali gus menjadi penanda aras kepada yang lain.

“Pendidikan adalah bidang yang mulia kerana kita berurusan dengan manusia, keberkatan ada di situ tetapi perlu diiringi dengan kesungguhan dan strategi serta kerja berpasukan.
“Kita perlu mengiktiraf anak-anak sebagai anak-anak, jangan kita terlalu bercita-cita mahu mewujudkan manusia genius atau pandai akademik pada peringkat usia sangat kecil, tetapi perlu meneliti apa sebenarnya tujuan Allah ciptakan manusia.
“Kalau pada usia 4 tahun cemerlang itu bagaimana? Kita bukan hanya sekadar mahu pandai akademik tetapi sahsiahnya yang lebih penting, selain kurikulum, suasana sekolah penting, apabila anak-anak datang lihat sekolah bersih apabila dia balik rumah pun dia nak keadaan yang sama,” katanya. – UTUSAN ONLINE











