211 usahawan layak terima dana TPUNS fasa pertama - Utusan Malaysia

211 usahawan layak terima dana TPUNS fasa pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 25 Julai – Sebanyak 211 permohonan telah diluluskan bagi fasa pertama Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TPUNS) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM628,346.52.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, permohonan itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa TPUNS semalam dan penyerahan geran akan diadakan pada 2 Ogos depan.

Beliau memberitahu, peruntukan tersebut adalah 21 peratus daripada jumlah dana sebanyak RM3 juta yang diperuntukkan di bawah TPUNS tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebanyak 81.5 peratus permohonan yang diluluskan melibatkan usahawan Melayu, India (13.3 peratus) dan Cina (5.2 peratus).

“Mengikut pecahan jantina, sebanyak 52 peratus adalah dalam kalangan usahawan lelaki dan bakinya 48 peratus wanita. 

“Sebanyak 44.7 peratus adalah bagi bidang pemakanan, 31 peratus perkhidmatan, 7.2 peratus peruncitan manakala baki 17.1 peratus terdiri daripada usahawan tekstil, kecantikan, pembinaan dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ampangan berkata, mesyuarat untuk kelulusan fasa kedua akan diadakan pada penghujung bulan Ogos, diikuti fasa ketiga pada akhir September dan fasa keempat pada penghujung Oktober.

“Sebanyak 600 permohonan telah diterima untuk diproses bagi fasa seterusnya dan masih terdapat sebanyak 200 kekosongan permohonan lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini