KUALA LUMPUR – Kelicikan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama di sini menggajikan warga asing sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) bagi menarik minat pengunjung akhirnya memakan diri setelah premis berkenaan diserbu oleh pihak berkuasa malam tadi
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 11.30 malam oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Lumpur susulan risikan dan maklumat yang diterima.
“Dalam serbuan tersebut seramai 20 wanita warganegara Thailand berusia dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun yang disyaki bekerja sebagai GRO telah ditahan dan pihak polis turut merampas beberapa unit peralatan hiburan bagi membantu siasatan.
“Pihak polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang berperanan sebagai pengurus pusat hiburan berkenaan dan memeriksa seramai 22 individu yang mengunjungi premis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Rusdi, pemeriksaan yang dilakukan mendapati premis tersebut telah beroperasi tanpa lesen hiburan yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP), Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39(b) Perkara-perkara Imigresen dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” ujar beliau. – K! ONLINE











