MELAKA – Seramai 141 mangsa daripada 18 keluarga dipindahkan akibat banjir kilat di daerah Alor Gajah pagi ini selepas hujan lebat turun kira-kira pukul 5 pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, sehingga pagi ini, enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu Balai Raya Seri Bayu, Balai Raya Bukit Balai, Sekolah Kebangsaan Pegoh, Balai Raya Gadek, Balai Raya Pachor dan Bukit Tambun.
“Setakat pukul 10.00 pagi ini PPS Balai Raya Pachor mencatat mangsa banjir ramai iaitu 81 orang yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan sekolah tahfiz, diikuti 15 daripada tiga keluarga di PPS Balai Raya Bukit Balai, 14 (tujuh keluarga) di PPS Balai Raya Gadek, 13 (empat keluarga) di PPS Bukit Timbun.
“10 mangsa pula berteduh di PPS Balai Raya Seri Bayu dan empat lagi dari sebuah keluarga ditempatkan di PPS Sekolah kebangsaan Pagoh,” katanya pada Bernama ketika ditemui di Kejohanan APM FUN Peringkat Negeri Melaka 2019 di sini hari ini.
Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka mengesahkan, tujuh kawasan dalam Dewan undangan Negeri (DUN) Gadek terjejas iaitu Tanjung Rimau, Padang Sebang, Kampung Gadek, Ganun, Dalong, Pegoh dan Paya Datok.
Katanya, kawasan lain yang turun terjejas ialah Bukit Tambun dan Bukit Balai di DUN Durian Tunggal, Seri Bayu 1 dan Seri Bayu 2 (DUN Rembia) serta enam buah rumah di Kampung Tuang, Masjid Tanah. – Bernama











