KUALA LUMPUR 27 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangkat membabitkan 12 pegawai kanannya berkuat kuasa 3 September depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran membabitkan Ketua Penolong Pengarah (D8), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Sharul Lalli Masduki yang akan memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Melaka.
“Timbalan Komander (Operasi) Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Asisten Komisioner Noor Sham Md. Jani dinaikkan pangkat ke Senior Asisten Komisioner dengan memegang jawatan sama.
“Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby dinaikkan pangkat menjadi Ketua Staf Pasukan Khas, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Jabatan Perdana Menteri dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Asmawati, Penolong Pengarah Unit Rondaan Bermotosikal / e-Sektor, Bahagian Operasi Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd. Soaihami Rahim pula akan dinaikkan pangkat ke Ketua Penolong Pengarah, Koordinasi Sumber Sokongan, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
Tambahnya, Timbalan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram dan Jenayah Pembiayaan Keganasan, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urus Setia Pejabat KPN Bukit Aman akan ditukarkan ke Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.
“Penolong Pengarah (D5), Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Azlan Abu akan memegang jawatan Pengarah Keselamatan (Gred KP52), Universiti Putra Malaysia.
“Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Perlis, Superintenden V. Raja akan memegang jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Operasi), Sarawak dengan memangku pangkat Asisten Komisioner,” ujarnya.
Asmawati memberitahu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Perak, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah akan menggantikan Azlan Abu dengan memegang jawatan Penolong Pengarah (D5), Pendakwaan/Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang memangku pangkat Asisten Komisioner.
Mengulas lanjut, Asmawati menjelaskan, Deputi Superintenden Perangkaan Pematuhan Integriti, Cawangan Pematuhan Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, dinaikkan pangkat dengan memegang jawatan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Perak dengan memangku pangkat Superintenden.
“Komander Unit Pencegah Penyeludupan Sempadan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Perlis, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali akan dinaikkan pangkat dengan memegang jawatan Ketua Polis Daerah Baling, Kedah dengan memangku pangkat Superintenden.
“Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Melaka, Deputi Superintenden Hanyan Ramlan akan memegang jawatan Ketua Polis Daerah Kemaman, Terengganu dengan memangku pangkat Superintenden,” ujarnya.
Jelasnya, Ketua Bahagian Kepolisan Am, Markas Pasukan Polis Marin, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Kuantan Wilayah Tiga, Pahang, Deputi Superintenden Rodzi Abu Hassan akan menjadi Komander Unit Pencegah Penyeludupan Sempadan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Perlis.
Senarai penuh pertukaran dan kenaikan pangkat pegawai-pegawai terbabit boleh dilayari menerusi laman Facebook Rasmi PDRM. – UTUSAN ONLINE











