LONDON – Pengurus baharu Juventus, Maurizio Sarri mahu semua pemain kelab itu menyesuaikan diri dengan keupayaan Cristiano Ronaldo yang dianggap sebagai arkitek dalam perlawanan.
Menjelang musim baharu 2019-2020, Ronaldo dijangka terus menjadi sandaran utama pasukannya terutama selepas kekecewaan tidak dapat melangkah ke saingan akhir Liga Juara-Juara musim lalu.
“Ketika ini 10 pemain yang lain harus menyesuaikan diri dengan corak permainannya kerana dia akan menjadi pemain yang akan membuat perbezaan buat kami.
“Dalam jelajah pra-musim ini, dia akan beroperasi sebagai penyerang di bahagian kiri walaupun jelas sekali dia lebih gemar di bahagian serangan tengah, iaitu berhampiran dengan rakan di bahagian serangannya.
“Ini bermakna sebagai satu pasukan, kami harus segera menyesuaikan diri dengan pergerakannya kerana dia mampu membuat perbezaan dan dia akan menyempurnakannya.
“Ini dibuktikan dalam perlawanan persahabatan pertama yang lalu, dia mencetak gol dan mencipta beberapa peluang lagi,” kata Sarri. – AGENSI











