KUALA LUMPUR – Pelumba negara, Zaqhwan Zaidi terlepas peluang meraih kemenangan keduanya musim ini selepas menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan kedua di Litar Suzuka, Jepun hari ini.
Pelumba Honda Asia Dream Racing With Showa tersebut yang memulakan perlumbaan di petak pertama dengan cemerlang apabila menguasai separuh perlumbaan.
Ketika perlumbaan berbaki enam pusingan untuk tamat, Zaqwhan gagal mengekalkan momentum cemerlang apabila melakukan kesilapan dan tergelincir di kedudukan keempat.
Kesilapan tersebut tidak mematahkan semangat Zaqhwan apabila kembali menebus kekecewaan itu dengan memintas Azlan Shah Kamaruzaman untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua. Pelumba Australia, Broc Parkes muncul juara.
“Saya akui melakukan kesilapan pada enam baki pusingan namun saya bangkit semula dan berjaya mengejar kembali untuk menghabiskan perlumbaan di tempat kedua.
“Terima kasih kepada pasukan saya kerana menyediakan jentera yang terbaik sepanjang minggu ini. Saya berharap akan menebus kesilapan pada perlumbaan esok,” katanya sejurus tamat perlumbaan.
Sementara itu, Azlan Shah yang menamatkan podium tempat ketiga mengakui tidak dapat melakukan yang terbaik kerana disebabkan pemilihan komponen tayar yang menjejaskan peluangnya untuk muncul sebagai juara.
“Pada perlumbaan sebentar tadi, saya menggunakan tayar jenis lembut dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana selepas melakukan lima pusingan perlumbaan keadaan jentera tidak stabil dan licin hingga memaksa saya kekal di kedudukan ini.
“Saya masih bersyukur kerana mampu berada di kedudukan podium. Menjelang perlubaan esok, saya berharap akan memberi tentangan yang lebih hebat untuk perebutan kejuaraan,” ujarnya.
Hasil keputusan tersebut, Parkes terus mendahului carta kedudukan pelumba dengan catatan 130 mata sekali gus meninggalkan Azlan dengan 17 mata. Sementara itu, Zaqhwan kekal di kedudukan ketiga dengan 104 mata. – K! ONLINE











