Waspada ancaman Lions Troop - Utusan Malaysia

Waspada ancaman Lions Troop

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Pengendali The Red Warriors (TRW) Yusri Che Lah mahu barisan pemainnya waspada rekod cemerlang UiTM FC ditempat lawan pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam esok.

Yusri berkata, meskipun turun tanpa dua tonggak Mohammad Azwan Aripin dan Danial Hakim Deram dia mahu barisan pemain TRW kekal fokus untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata pada pertemuan itu nanti.

Menurutnya, TRW tidak boleh terus keciciran mata kerana ia akan menyulitkan peluang pasukan untuk membebaskan diri daripada kelompok zon penyingkiran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya akui UiTM FC pastinya akan turun dengan kekuatan penuh untuk mendapatkan mata pada perlawanan itu nanti.

“Tetapi kita tidak akan memberikan laluan mudah kepada mereka dan saya mengharapkan tonggak berpengalaman Mohd. Farisham Ismail untuk memimpin pasukan dengan memperagakan aksi terbaik nanti,” katanya.

Yusri memberitahu, meraih satu mata pada perlawanan itu nanti sudah cukup bermakna buat TRW.

Katanya, jika memperoleh kemenangan ia satu bonus besar untuk Kelantan dalam usaha membebaskan diri daripada zon penyingkiran.

“Persiapan TRW tetap berjalan lancar walaupun kita sedikit pincang untuk berdepan UiTM FC

“Saya harap pemain akan berusaha sebaik mungkin dalam merealisasikan impian mendapat mata,” ujarnya.

Selepas mengharungi 14 perlawanan Kelantan kini berada ditangga tercorot dengan mengumpul sembilan mata.

Bagaimanapun, TRW dibezakan satu mata dengan pasukan Sarawak yang berada di tangga kesepuluh dalam carta Liga Perdana.

UiTM FC merupakan pendahulu Liga Perdana dan berkongsi 26 mata dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini