KASHGAR 27 Jun – China didakwa sengaja mengganggu usaha wartawan asing dari seluruh dunia membuat liputan mengenai keadaan etnik Uighur di Xinjiang.
Antara usaha itu adalah dengan menyamar menjadi pelancong dan mencetuskan kemalangan jalan raya secara sengaja bagi melengahkan kerja wartawan.
Tinjauan AFP ke Xinjiang bagi meninjau kem tahanan itu selama enam hari mendapati, pergerakan wartawan seperti diperhatikan selepas berjaya merakam tiga premis tahanan yang dikelilingi kawat berduri.
Pada satu ketika, wartawan bertembung insiden tiga orang lelaki sedang sibuk memalsukan kemalangan, memaksa polis menghentikan trafik sekali gus menyekat laluan ke kem berkenaan.
Sejak Oktober lalu, kerajaan Xinjiang menganjurkan lawatan ke kem tahanan buat diplomat asing dan agensi media selepas mengaku kewujudan kem tersebut.
Namun laporan secara bebas amat mencabar selepas wartawan kerap diekori polis berpakaian preman yang menyukarkan pengamal media menemubual penduduk, bimbang akan keselamatan mereka.
Sekatan jalan raya dan kerja-kerja pembinaan berhampiran kem secara tiba-tiba juga kerap memeningkan wartawan.
Dalam satu kes di Hotan, selepas wartawan hampir sampai ke kem, jalan raya secara tiba-tiba ditutup beberapa saat selepas sebuah kereta tidak bertanda secara tiba-tiba memotong kenderaan mereka.
Ini membuatkan pilihan yang ada pada wartawan adalah untuk mengambil gambar kem dari jauh sahaja.
Selain itu, semasa usaha wartawan memeriksa sebuah masjid yang dipercayai dirobohkan kerajaan di bandar Artux, polis di pusat pemeriksaan mengarahkan kenderaan mereka berpatah balik selepas mendakwa jalan ditutup kerana ujian memandu selama lima hari. – AFP










