Warna ungu jadi pilihan pasangan suami isteri cacat penglihatan - Utusan Malaysia

Warna ungu jadi pilihan pasangan suami isteri cacat penglihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM – Impian pasangan suami isteri yang cacat penglihatan untuk berpakaian sedondon pada Hari Raya Aidilfitri ini menjadi kenyataan hari ini menerusi bantuan Nashmir Holding Sdn. Bhd.

Pasangan suami isteri berkenaan, Abd. Hadi Mohd. Noor, 37, dan isterinya, Siti Rohaya Abu Bakar, 28 serta 58 lagi mereka yang cacat penglihatan menerima bantuan pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri yang dibeli hari ini di Pasaraya Mydin di sini.

Siti Rohaya yang bekerja sebagai tukang urut bersama suaminya di Kulim, Kedah berkata, selepas berkahwin tiga tahun lalu ini merupakan kali pertama dia dan suaminya berpakaian sedondon serta menerima bantuan kelengkapan pakaian baharu sempena hari raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya masih boleh melihat tetapi apa yang saya nampak semuanya kabur, kami pada mulanya mahu baju berwarna oren namun tiada saiz yang sesuai dengan kami.

“Akhirnya kami sepakat memilih warga ungu sebagai tema baju raya kami,” katanya ketika ditemui di Pasaraya Mydin di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abd. Hadi berkata, dia hilang penglihatan sepenuhnya pada tahun 2000 disebabkan penyakit glaucoma namun dia masih boleh mengingati warna-warna asas seperti ungu, biru, hijau dan sebagainya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Nashmir Holding Sdn. Bhd. yang sudi memberi bantuan pakaian kepada saya dan isteri.

“Sebelum ini saya dan isteri hanya mendapat bantuan pakaian terpakai sahaja namun kami tetap bersyukur dengan apa sahaja yang diberikan kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasmir Holdings, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, ini merupakan kali pertama Yayasan Nashmir menyampaikan bantuan pakaian serta kelengkapan hari raya kepada mereka yang cacat penglihatan.

“Kesemua 60 penerima adalah daripada Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Cawangan negeri ini dan selepas ini pihak kami akan membantu mereka menjayakan program-program lain pula seperti penganjuran rumah terbuka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini