MELAKA – Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dalam kejadian pecah rumah di Jalan Kota Laksamana di sini petang semalam.
Mayat, K. Krishnavani Reddy, 79, ditemui di atas katil di ruang tamu oleh suaminya yang pulang ke rumah berkenaan kira-kira pukul 1.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.10 petang.
“Hasil pemeriksaan anggota di kediaman tersebut menemukan seorang wanita warga emas yang telah meninggal dunia.
“Kejadian itu hanya disedari suami si mati apabila dia pulang ke rumah selepas gagal menghubungi isterinya yang tinggal seorang diri ketika kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal, rumah tersebut dipercayai telah dipecah masuk apabila rantai emas yang dipakai oleh si mati hilang.
“Suami si mati memberitahu rantai emas di pakai oleh isterinya telah tiada ketika mayatnya ditemukan.
“Bagaimanapun, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang kecederaan dan mayat telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, manakala mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











