KNOXVILLE, Tennessee – Seorang wanita berusia 43 tahun menjalani 86 pembedahan bagi membuang kanser kulit sejak disahkan menghidap penyakit berbahaya itu kira-kira 20 tahun lalu, lapor akhbar Daily Mail.
Lisa Pace yang berasal dari bandar Knoxville berkata, dia menghidap kanser kulit kerana kerap menggunakan mesin berjemur sejak zaman persekolahan sehingga dia melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.
Lisa menggunakan mesin itu untuk menggelapkan kulitnya hampir setiap hari.
Pada tahun 2000, dia didapati menghidap melanoma atau kanser kulit selepas doktor-doktor memeriksa tahi lalat yang tumbuh pada kaki kanannya.
“Saya menggunakan mesin berjemur hampir setiap hari. Ia membuatkan saya ketagih. Orang memberitahu bahawa saya nampak seksi berkulit gelap dan ia membuatkan saya lebih teruja,” katanya.
Kurang setahun selepas menjalani pembedahan pertamanya, Pace menemui tompok putih pada pipi kirinya. Kanser tersebut juga perlu dibuang menerusi pembedahan.
“Saya kecewa. Saya tidak sanggup melihat diri di cermin. Saya bercakap dengan doktor dan selepas perbincangan, saya mendapat tahu mesin berjemur menyebabkan saya menghidap kanser kulit,” katanya.
Tahi lalat mula tumbuh di seluruh tubuhnya termasuk di muka, tangan, perut dan kaki. Dia juga menghidap dua lagi varian kanser kulit iaitu squamous cell carcinoma dan basal cell carcinoma.
Sehingga tahun ini, Lisa telah menjalani 86 pembedahan untuk membuang kanser pada kulitnya. Dia kini menggunakan losyen pelindung matahari, memakai baju lengan panjang dan topi setiap kali keluar rumah, malah melakukan pemeriksaan kulit pada setiap hari. – Agensi











