PUTRAJAYA – Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Hilman Idham hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran satu video lucah melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan seorang lelaki dikenali Haziq Aziz.
Laporan itu dibuat oleh Hilman yang juga Timbalan Ketua AMK Pusat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini.
Menurut Hilman, beliau membuat laporan itu agar polis melakukan siasatan terhadap penularan video berkenaan.
“Saya telah buat laporan dan polis telah menerima laporan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis.
Tiba di Ibu Pejabat Polis Putrajaya untuk membuat laporan terhadap fitnah yang dilemparkan terhadap Dato’ Seri @AzminAli. Turut bersama SUPOL Dato’ MB, YB Borhan Aman Shah dan pimpinan AMK, Sdr @nazreeyunus, @SaifuddinShafi dan lain-lain yang hadir memberi sokongan. #TolakFitnah pic.twitter.com/JLudyWoV5I
— Hilman Idham (@hilmanidham) June 13, 2019
Beliau juga selepas ini dijangka membuat laporan qazaf (tuduhan berzina) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Putrajaya.
Semalam, individu mendakwa terlibat sama dalam video terbabit dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi tersebut bersama Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR.
Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz, lelaki itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.
Individu berkenaan dipercayai Muhammad Haziq Abdul Aziz iaitu Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin yang tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia adalah lelaki melakukan seks sejenis bersama menteri itu. – UTUSAN ONLINE










