LIVERPOOL – Pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk akui dia sukar untuk tidur lena kerana masih terlalu gembira dengan kejayaan The Reds menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2005 selepas menewaskan Spurs dalam saingan akhir di Madrid, semalam.
Kata Van Dijk, kegembiraannya bukan setakat selepas tamat perlawanan tetapi berterusan sehingga hari ini apabila meraikannya bersama penyokong setia kelab itu di bandar Liverpool.
Kesemua pemain The Reds termasuk Van Dijk diarak menaiki bas khas melalui jalan di sekitar bandar Liverpool sebaik tiba dari Madrid dan disambut oleh penyokong mereka yang mahu melihat trofi kejohanan berprestij Eropah itu.
“Saya menitiskan air mata di penghujung perlawanan kerana terlalu gembira malah saya sangat bangga dengan pasukan ini.
“Selepas tamat perlawanan saya hanya tidur selama setengah jam tetapi semuanya berbaloi namun saya tidak pasti sama ada saya boleh tidur lena malam ini,” katanya. – AGENSI











