KOTA BHARU – Seorang usahawan muda, Datuk Seri Mohamad Faeez Amirul Mohd. Fauzi menawarkan diri sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sekiranya mendapat pencalonan dari ahli gabungan badan induk itu sebelum 30 Jun ini.
Mohamad Faeez berkata, kesediaan menawarkan diri itu dibuat selepas terpanggil untuk membantu memulihkan semula sukan No.1 rakyat Kelantan itu.
Menurutnya, sebagai tanda kesediaan memikul mandat itu beliau sudah meneliti semua hutang-piutang yang sedang membelenggu Kafa ketika ini.
“Boleh dikatakan sudah 90 peratus saya sudah ‘khatam’ masalah Kafa. Insya-Allah jika diberi peluang, saya akan berusaha sebaik mungkin memulihkan Kafa.
“Saya tidak ada masalah untuk bekerja dengan mana-mana pihak. Sebab itulah saya membuat keputusan untuk bergerak secara solo,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Faeez memberitahu, sekiranya tidak dicalonkan untuk jawatan itu beliau sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak yang menang.
Katanya, hasrat utama ialah membantu ‘menghidupkan’ semula The Red Warriors (TRW) yang boleh diumpamakan seperti ‘hidup segan, mati tidak mahu’.
“Bola sepak adalah jiwa rakyat Kelantan, untuk itu saya telah menyediakan beberapa langkah awal untuk menyelamatkan semula pasukan.
“Fokus utama ialah melangsaikan semua hutang-hutang Kafa yang menyebabkan badan induk itu berdepan masalah ketika ini,” ujarnya.
Selain Mohamad Faeez, beberapa individu turut menawarkan diri untuk jawatan Presiden Kafa pada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Julai ini.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, ushawan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
EGM itu diputuskan oleh barisan Exco Kafa setelah sepakat menerima usul dari PBJ yang mendesak supaya proses itu disegarakan.- UTUSAN ONLINE











