IPOH – Keputusan ujian deoksiribonukleik (DNA) tulang dan beberapa serpihan yang ditemukan di Gua Kandu di Gopeng April lalu disahkan bukan milik Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau Acap.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, hasil laporan yang diterima daripada Jabatan Kimia negara mendapati tulang tersebut tidak sepadan dengan DNA ibu dan abang kandung Mohammad Ashraf yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.
Malah katanya, DNA tulang tersebut juga tidak terdapat dalam data Jabatan Kimia negara.
“Melalui kaedah bedah siasat dan ujian DNA yang dilakukan itu mengesahkan serpihan tulang tersebut bukan milik Mohammad Ashraf dan pemilik tulang juga tidak dapat dipastikan selepas semakan dibuat di Jabatan Kimia.
“Hasil analisis sampel tanah di lokasi penemuan tulang itu juga menunjukkan warna tanah yang ditemui bersama tulang tersebut dan warna tanah di lokasi tidak sepadan dan ini mengesahkan tulang itu bukan berasal dari kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat meskipun berada pada kedudukan 10 peserta teratas pertandingan itu.
Operasi mencari lelaki terbabit dilakukan selepas kehilangannya dilaporkan kepada pihak polis oleh rakannya yang turut sama menyertai perlumbaan lasak itu.
Bagaimanapun pada 20 April lalu, penduduk kampung yang melakukan pencarian ke atas Mohamad Ashraf atau dikenali Acap telah menjumpai tulang berkenaan di dalam Gua Kandu kira-kira pukul 1 petang.
Tulang dengan ukuran panjang 15 ke 20 sentimeter seakan-akan tulang betis bersama beberapa serpihan tulang itu bagaimanapun disahkan oleh pihak polis sebagai tulang lama.- UTUSAN ONLINE











