Tiga fokus utama pulihkan persepsi negatif PDRM - KPN - Utusan Malaysia

Tiga fokus utama pulihkan persepsi negatif PDRM – KPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador meletakkan tiga fokus utama agar persepsi negatif terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat dipulihkan.

Menurutnya, tiga fokus tersebut ialah meningkatkan integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan tahap sistem penyampaian perkhidmatan dan mendukung pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Berikut kenyataan penuh Abdul Hamid seperti di bawah:

Memuatkan artikel berkaitan…

Setinggi-tinggi tahmid dipanjatkan ke hadrat Allah Azza Wa Jalla kerana dengan limpah rahmat dan izinNya jua, kita masing-masing berada di tempat yang membolehkan kita menjalankan tanggungjawab hisbah kita, demi menjaga kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara. Sesungguhnya, inilah semulia-mulia profesion di mana kita memegang amanah untuk menegakkan yang makruf dan menyekat yang mungkar.

Sebaik sahaja menerima mandat untuk menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Ketua Polis Negara Ke–12, saya telah memahat ikrar dan janji, untuk melaksanakan amanah ini selari dengan wewenang yang diberi serta bersandarkan tuntutan dunia dan akhirat. Kepada Allah SWT saya berdoa dan berserah, moga diberi taufik dan hidayah untuk menggandar amanah ini, di samping memastikan emosi tidak mempengaruhi keputusan dan nafsu tidak mencacatkan tindak-tanduk saya.

Saya mulakan langkah dengan nawaitu yang dipasak penuh ikhlas kerana Allah SWT, untuk memperkasakan PDRM dan menggerakkan ia di atas jentera pentadbiran yang lebih terangkum dan terancang. Bukanlah mudah untuk saya mengubah apa yang telah berakar umbi dan mendarah daging dalam PDRM. Malahan, saya sedar yang saya juga bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran dari luar dan dalam Pasukan sendiri.

Cabaran pertama saya ialah untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan di mana kita amat dihargai dan disanjung oleh masyarakat sebagai pelindung dan tempat mereka menyandarkan harapan. Kita harus sama-sama berusaha untuk meraih kembali keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan. Hakikatnya, pasukan kini berada di tahap kritikal, di mana ‘PDRM’ itu sendiri, sinonim dengan rasuah dan salah guna kuasa, sehingga cacing mula naik ke mata. Sikap ‘beraja di mata bersultan di hati’ tidak harus bertapak dalam kalangan kita, kerana ia pasti akan menghancurkan institusi keramat ini. Maka, adalah penting untuk kita pastikan agar kebimbangan orang awam terhadap kewibawaan kita, tidak menghakis kepercayaan mereka terhadap PDRM, yang ibarat ‘harapkan pegar, pegar makan padi.’

Cabaran kedua yang menanti saya ialah usaha untuk menambah baik ‘working conditions and living conditions’ (kemudahan tempat kerja dan premis kediaman) warga PDRM bagi tujuan meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan prestasi pasukan. Imej PDRM sebagai sebuah institusi yang moden dan efisien, dapat dipertingkatkan lagi jika masalah bangunan dan infrastruktur yang lama dan usang dapat diatasi. Dalam masa yang sama, fokus akan turut diberi kepada usaha menambah baik gaji, logistik dan kebajikan anggota pangkat rendah, yang rata-rata bekerja antara 200 hingga 300 jam sebulan. Malah mereka terpaksa berhadapan dengan kos sara hidup yang amat tinggi bagi yang ditugaskan di bandar-bandar besar. Maka seharusnya skim gaji dan manfaat kebajikan mereka perlu dirasionalisasikan semula, bersesuaian dengan risiko dan juga waktu kerja yang panjang. Usaha ini pastinya akan dapat menaikkan semangat dan harga diri serta meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan warga PDRM.

Alhamdulillah, kita amat bersyukur kerana kerajaan telah menyatakan kesediaan untuk mengkaji dan mempertimbangkan syor agar gaji anggota pangkat rendah dinaikkan.

Dalam mendepani cabaran-cabaran yang bakal mendatang, saya telah menetapkan tiga fokus atau sasaran gerak kerja yang perlu kita laksanakan, agar persepsi negatif terhadap PDRM dapat dipulihkan.

Fokus pertama : Meningkatkan integriti dan akauntabiliti

Sebagai sebuah agensi penguat kuasa undang-undang utama negara, kita dituntut untuk mengamalkan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik dalam memenuhi ekspektasi serta menghormati kepentingan pemegang taruh. Tahap integriti yang tinggi semestinya dapat menghakis stigma yang selama ini mengaitkan PDRM dengan rasuah, salah guna kuasa dan bersekongkol dengan penjenayah. Saya memberi amaran kepada mana-mana warga PDRM yang menjadi sebahagian daripada jaringan kegiatan jenayah, agar segera menghentikan perbuatan terkutuk ini, sebelum ia terlambat.

Jelasnya, jika kita mahu kembali disanjung serta dihormati, maka jadikanlah integriti sebagai asas kepada kekuatan diri dan pasukan. Sesungguhnya, integriti adalah benteng terakhir untuk kita mengawal hawa nafsu agar tidak terdorong untuk melakukan apa juga yang boleh menghakis harga diri dan menggadai maruah kita sebagai seorang manusia.

Fokus kedua : Mempertingkatkan tahap sistem penyampaian perkhidmatan.

Demi mencapai tahap ‘world class policing’ yang kita harap-harapkan, sistem penyampaian perkhidmatan harus diperkasakan demi meningkatkan tahap kepuasan masyarakat terhadap perkhidmatan yang kita berikan. Contohnya, kita harus cakna dengan rungutan-rungutan yang diluahkan oleh masyarakat, khususnya berhubung tata krama dan layanan yang diterima semasa berurusan di ‘enquiry office (E.O) (contohnya: disuruh pergi ke balai lain untuk membuat aduan, dilayan dengan buruk, tertekan dengan masalah komunikasi, diminta datang semula atas sebab sistem laporan polis tergendala dan sebagainya) dan kegagalan mendapatkan maklum balas perkembangan kes dari Pegawai Penyiasat. Jelasnya, apa yang perlu kita tekankan dalam segala aspek urusan kita dengan masyarakat ialah pendekatan ‘satisfying the customer’ yang berpaksikan prinsip cepat, cekap dan mesra pelanggan.

Amalkanlah kesederhanaan dalam apa jua yang kita rencanakan agar pembaziran dapat dielakkan, lebih-lebih lagi dalam penganjuran aktiviti-aktiviti santai yang tidak bermanfaat tetapi menelan belanja besar. Amalan meraikan pegawai-pegawai atasan dengan pemberian hadiah yang mahal, pembaziran tenaga kerja dan aset pasukan dalam program-program yang jauh menyimpang dari tugas rasmi atau tugas hakiki, amalan meminta-minta dan beri-memberi serta menagih ‘sponsorship’ daripada pihak luar, harus kita hentikan serta-merta, demi harga diri dan maruah pasukan.

Fokus ketiga : Mendukung pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

Kita harus menerima hakikat bahawa menerusi IPCMC, integriti dapat terus dijadikan keutamaan dalam pengurusan dan kebertanggungjawaban polis. Namun, ramai yang tidak memahami bahawa menerusi IPCMC itu sendiri, kita dapat memperjuangkan hak dan kebajikan kita yang selama ini kurang mendapat perhatian yang setimpal dengan pengorbanan yang telah kita curahkan demi bangsa dan negara.

Insya-Allah, saya akan memperjuangkan kebajikan serta kepentingan seluruh warga PDRM agar sentiasa terpelihara dan terbela sepertimana yang telah dinyatakan sebelum ini, saya akan pastikan warga PDRM mendapat manfaat dan masyarakat pula memperoleh khidmat yang terbaik daripada penubuhan IPCMC. Maka janganlah kita takut dengan bayang-bayang sendiri dan cuba menggagalkan usaha untuk mengembalikan imej dan kredibiliti pasukan di mata masyarakat melalui kewujudan suruhanjaya ini.

Saya juga amat berharap agar setiap lapisan pasukan akan bersama-sama saya dalam usaha mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM. Ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi tidak mustahil untuk kita capai jika keikhlasan dan ketaqwaan yang terhakis, masih berbaki di dalam diri.

Sebagai khalifah di bumi ini yang diamanahkan dengan tanggungjawab hisbah untuk mengawasi dan memelihara kemaslahatan umum masyarakat, kita harus berpegang teguh kepada konsep institusi mazalim yang berperanan melaksanakan keadilan, menghapus kezaliman, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebarang bentuk penyelewengan yang boleh menghancurkan masyarakat dan negara.

Sama-samalah kita berusaha ke arah menjadikan pasukan Polis Diraja Malaysia sebagai sebuah institusi yang dihormati dan menghormati masyarakat.

Semoga jihad dan perjuangan kita dalam menjaga keselamatan agama, bangsa dan negara diberkati serta dirahmatiNya.

DATUK SERI ABDUL HAMID BADOR

Ketua Polis Negara

Polis Diraja Malaysia

-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini