RAUB – Setakat ini tiada laporan yang menunjukkan masyarakat Orang Asli di negeri ini dijangkiti wabak penyakit yang meragut 14 nyawa masyarakat itu di Kuala Koh, Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Bandar dan Orang Asli negeri, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram berkata, bagaimanapun usaha pemantauan terus digiatkan khususnya di kawasan yang mempunyai laluan terus ke Kuala Koh.
“Kita meminta masyarakat Orang Asli yang ada tanda-tanda seperti demam supaya ke klinik dan hospital dengan segera.
“Kita juga meminta masyarakat Orang Asli di negeri ini supaya tidak pergi ke Kuala Koh buat sementara waktu dan pihak berkenaan terus melakukan pemantauan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Zon 3 di sini hari ini.
Yang hadir sama Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar. – UTUSAN ONLINE










