MUTAKHIR ini, semakin ramai cerdik pandai dari pelbagai agama yang menganggap ekonomi sebagai disiplin ilmu pada masa kini telah menyimpang daripada hala tujunya dan menjadi suatu disiplin yang bermasalah (a dismal science). Ilmu pengetahuan ini telah menjadi teknikal semata-mata manakala tujuan besarnya menjadi kabur kerana visi kewujudan yang mendasarinya telah disekularkan.
Penyempitan makna istilah “ekonomi” itu sendiri telah membentuk cara berfikir jutaan manusia di dunia untuk memikirkan bahawa matlamat kita di dunia ini adalah untuk memperuntukkan sumber yang terhad demi memenuhi apa yang dipanggil keinginan tanpa batas manusia (unlimited wants). Akibatnya, makna asal “ekonomi” yang dianjurkan zaman berzaman oleh para pemikir dan bijak pandai terdahulu diabaikan dan manusia moden telah melupakan tujuan asal ekonomi, iaitu untuk membawa ketertiban dalam kehidupan individu, keluarga dan masyarakat yang membawa kepada ketenangan jiwa. Pemahaman ini digantikan oleh definisi teknikal ekonomi yang tidak menyumbang kepada tujuan yang disebutkan di atas. Hakikatnya, semangat dan visi ekonomi moden berlawanan dengan fitrah manusia (jika anda memahami manusia sebagai keturunan Adam – “insan”), serta melanggar ketertiban alam (cosmos) lalu menyumbang kepada pelbagai bentuk kezaliman.
Oleh itu, penyelesaiannya ialah untuk kita kembali kepada semangat dan pengertian atau visi asal “ekonomi” seperti yang difahami dalam pandangan hidup Islam yang merujuk kepada tadbir-urus rumahtangga di peringkat peribadi, keluarga, dan masyarakat (tadbīr al-manzil); sebagai ilmu mencari nafkah (ilm al-iktisāb wa al-infāq) dan sebagai ilmu pengurusan sumber alam secara adil (ilm al-iqtisad) – yang mencerminkan bagaimana umat Islam sepanjang zaman memahami alam semesta (‘alam), manusia (insan), kebahagiaan (sa’adah), keadilan (‘adl), dan akhirnya, Tuhan.
Kehidupan ekonomi yang dibayangkan dalam Islam didasari oleh suatu disiplin diri (zuhd) dan bertujuan untuk mencapai ketenangan jiwa (sa’adah), yang dibentuk oleh sistem kepercayaan tentang kebenaran dalam Islam, didorong oleh aspirasi rohani yang tinggi dan dipandu oleh hukum Ilahi. Jadi, sebagai contoh, orang yang benar-benar beriman misalnya tidak memerlukan terlalu banyak barang-barang mewah, tetapi menyalurkan semula lebihan kekayaannya kepada masyarakat kerana dia bebas dari diri haiwannya (nafs al-hayawaniyyah).
Orang yang beriman juga tidak perlu melancong secara berlebihan atau bahkan untuk melaksanakan umrah atau haji lebih dari sekali apabila terdapat keperluan yang lebih mendesak untuk menyokong usaha-usaha ilmiah dan sarjana Muslim yang dapat menyumbang kepada kemaslahatan umat.
Orang yang beriman sepanjang sejarah juga memberi perhatian kepada persoalan keberkatan ilahi (barakah). Kepekaan ini membawa kepada keinginan untuk mencapai kemakmuran dengan matlamat untuk menyucikan jiwanya; dan demi memastikan tidak ada yang dipinggirkan dalam masyarakat.
Walaupun pada abad ke-20 terdapat sejumlah ahli ekonomi Muslim yang mula mengungkapkan semula “Ekonomi Islam”, namun kebanyakan penulisan ini tidak memberi takrifan yang jelas dan terperangkap dengan takrifan-takrifan sekular Barat seperti erti “ekonomi” sendiri, erti “kualiti hidup”, erti “pembangunan” dan sebagainya.
Oleh itu, golongan cerdik pandai Muslim perlu peka dan tidak mengulangi kesilapan ilmiah ini yang akan menyebabkan kekacauan. Sekiranya hubung-kait dengan pandangan hidup Islam itu tidak difikirkan dengan baik, ia akan membawa kepada pelaksanaan yang tidak membawa kepada ketenteraman jiwa, malah kemungkinan bertentangan dengan kepercayaan pada Keesaan Tuhan (Tawhid) dan ajaran-ajaran Rasul-Nya (Anbiya’).
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










