Sunway Carnival Mall ceriakan Aidilfitri kanak-kanak OKU terencat akal - Utusan Malaysia

Sunway Carnival Mall ceriakan Aidilfitri kanak-kanak OKU terencat akal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM – Pusat beli-belah Sunway Carnival Mall, Seberang Perai dekat sini meneruskan tradisi membawa keceriaan kepada golongan kurang berkemampuan sempena Aidilfitri dengan meraikan pelajar di Sekolah Sinar Harapan di sini hari ini.

Ini merupakan tahun kelima pihak pengurusan pusat beli-belah itu meraikan pelajar di sekolah berkenaan yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) terencat akal.

Menurut Pengarah Urusannya, Chai Wen Yew, program khidmat sosial syarikat itu hari ini juga bagi menghargai sumbangan ahli Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Terencat Akal Seberang Perai Tengah yang menabur bakti dalam memastikan kelangsungan sekolah tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambah beliau, pihaknya berharap program itu dapat menghadirkan kegembiraan kepada pelajar sekolah berkenaan dalam menyambut Aidilfitri sama seperti kanak-kanak lain.

“Kita juga berharap penglibatan kita hari ini dapat menarik lebih banyak pihak luar khususnya sektor korporat untuk bersama-sama membantu dan menyumbang kepada sekolah seperti ini.

“Ini bagi memastikan kanak-kanak OKU ini akan terus mendapat penjagaan dan perhatian khas daripada pihak yang sewajarnya,” katanya ketika berucap dalam program itu.

Ketika ini terdapat seramai 39 pelajar OKU berusia antara satu hingga 21 tahun menuntut di sekolah itu termasuk yang mengikuti kursus kemahiran seperti membuat roti dan mencanting batik.

Dalam pada itu, Pengetua sekolan berkenaan, Abdul Halim Othman berkata, beliau terharu dengan keprihatinan pengurusan pusat beli-belah Sunway Carnival Mall yang sentiasa memberi sokongan kepada sekolah tersebut.

Dalam masa sama, beliau berharap lebih banyak pihak luar menyumbang dana kepada sekolah berkenaan yang kini sangat memerlukan untuk memastikan kelancaran operasinya.

Tambahnya, ketika ini, sekolah berkenaan memerlukan antara RM11,000 hingga RM12,000 sebulan untuk beroperasi dengan satu pertiga daripada jumlah itu dibiayai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada kira-kira RM5,000 sumbangan dan dana yang kita terima setiap bulan dan kita terpaksa menggunakan wang simpanan untuk menampung kekurangan kos operasi,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu Sekolah Sinar Harapan itu boleh menghubungi talian 04-5397568 untuk maklumat lanjut atau menyumbang ke akaun CIMB di nombor 0724-0000182-1-4. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini