JOHOR BAHRU – Kepemimpinan kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal serta barisan exco merupakan antara yang pertama mengunjungi Istana Bukit Serene di sini pada pagi hari raya pertama.
Ketibaan mereka disambut mesra Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta keluarga diraja Johor.
Tetamu kehormat itu turut diraikan dalam satu majlis santapan pagi bersama baginda serta keluarga diraja Johor.
“Sultan Johor kemudian berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di Saujana dan baginda turut beramah-mesra bersama para pengunjung serta penyokong Pakatan Harapan (PH) dengan mengetepikan segala protokol,” menurut entri terbaharu Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Pada Khamis lalu, Sultan Ibrahim turut menyambut kehadiran rombongan kepemimpinan PH Johor pada Majlis Rumah Terbuka Istana Johor di Istana Pasir Pelangi.
Baginda meluangkan masa serta beramah-mesra bersama kepemimpinan kerajaan negeri di Khemah Diraja pada majlis berkenaan.
“Sultan Johor sentiasa mengalukan-alukan kehadiran pelbagai pihak dalam mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama umat Islam,” menurut Facebook itu.
emalam, Malaysiakini mengeluarkan satu laporan bertajuk ‘Undangan khas Aidilfitri Sultan Ibrahim hanya buat UMNO Johor’ berikutan Sultan Johor telah menerima menghadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor sempena sambutan Aidilfitri.
Laporan portal berita itu yang memetik sumber berkata, ia merupakan kali pertama Sultan Ibrahim mengundang jemputan hari raya kepada rombongan UMNO sahaja dan pertemuan tersebut berlangsung selama lebih satu jam setengah dalam suasana mesra.
Malaysiakini turut memetik sumber PH bahawa tiada undangan ke majlis rumah terbuka Aidilfitri seumpama itu kepada mereka daripada istana buat masa ini. – UTUSAN ONLINE











