SMART ‘duta’ negara di lokasi bencana - Utusan Malaysia

SMART ‘duta’ negara di lokasi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Runtuhan bangunan, banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan tsunami.

Apa sahaja bencana besar yang berlaku di luar negara, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan menjadi ‘duta’ negara dan bersama-sama membanting tulang dalam operasi bencana bersama pasukan penyelamat negara luar.

Ajutan SMART, Deputi Superintenden Abd. Rahim Abd. Aziz berkata, pasukan dengan kekuatan 133 anggota itu sentiasa bersiap sedia dengan peranan dan tanggungjawab sebagai satu pasukan penyelamat yang berkualiti, kompeten serta bertaraf dunia dalam menghadapi bencana.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, SMART yang ditubuhkan pada 1994 diperlukan dalam melaksanakan operasi bencana besar di darat, air dan udara yang lazimnya di luar kemampuan pasukan penyelamat sedia ada.

“Skop kerja SMART adalah sebagai pasukan elit yang menyertai misi membabitkan bencana besar di luar negara khususnya Asia Tenggara. Selain itu, kami juga terlibat dalam operasi sekiranya berlaku bencana di negara ini seperti kejadian tanah runtuh dan banjir besar. 

“Bagaimanapun, SMART tidak mengambil alih tugas pasukan penyelamat seperti bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kerana peranan kami lebih kepada situasi Mencari dan Menyelamat Bandar Berat (USAR),” katanya ketika ditemui Mega Wira, baru-baru ini.

Abd. Rahim menjelaskan, SMART yang kini diletakkan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) ditubuhkan oleh kerajaan selepas kejadian runtuhan pangsapuri Highland Tower pada 1993 yang mengakibatkan puluhan nyawa terkorban sekali gus menjadi bencana terburuk pernah berlaku di negara ini ketika itu.

“Selepas kejadian Highland Tower, kerajaan berasakan perlu ada pasukan khas bagi menangani keadaan yang kritikal dan diklasifikasikan sebagai kemusnahan. Oleh itu, SMART ditubuhkan dan kami sentiasa bersedia dengan pelan respon yang akan digunakan mengikut kesesuaian situasi supaya tragedi dapat ditangani dengan sistematik.

“Sejak ditubuhkan, SMART telah melalui pelbagai fasa penambahbaikan daripada segi latihan atau peralatan operasi. Kita mempunyai pelbagai peralatan khas operasi antaranya alat mengesan visual yang digunakan untuk mencari mangsa dan mesin penebuk konkrit,” jelasnya.

Kata Abd. Rahim, bagi melengkapkan peranan pasukan, SMART telah mematuhi piawaian pengurusan bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menjadi pasukan menyelamat yang diiktiraf Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016.

Jelasnya, Malaysia merupakan negara kedua di Asia Tenggara selepas Singapura menerima pengiktirafan itu yang membolehkan pasukan itu menghantar sumber manusia dan bahan ke kawasan bencana di bawah Wakil Pejabat PBB mengenai Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA).

“Menerusi pengiktirafan tersebut, pasukan ini boleh pergi ke mana-mana negara dengan mudah untuk melaksanakan misi menyelamat sekiranya berlaku sebarang bencana.

“Sekiranya SMART dihantar untuk misi menyelamat di luar negara, kami akan lebih memahami apa yang perlu dilakukan ketika operasi dan dengan pengiktirafan INSARAG, kami juga diberi laluan untuk mengetuai operasi,” katanya.

Tambah Abd. Rahim, SMART terdiri daripada beberapa komponen iaitu pengurusan, pasukan mencari dan menyelamat, logistik dan perubatan.

“Setiap komponen mempunyai kepakaran masing-masing dan digunakan dengan sebaiknya apabila tiba di negara yang terjejas. Walaupun tiada sebarang bencana yang memerlukan kehadiran SMART, kami tetap menjalani latihan harian bagi memperkukuhkan kemahiran dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi bencana,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini