SUDAH menjadi tradisi sejak berdekad-dekad lalu, masyarakat Melayu memakan lemang dicecah bersama serunding pada pagi Syawal atau sebagai santapan kepada saudara-mara mahupun jiran tetangga yang bertandang ke rumah.
Serunding atau turut dikenali sebagai sambal daging di Kelantan ialah hidangan tersohor yang digemari terutamanya kaum Melayu di negara ini pada hari raya kerana amat sesuai dimakan dengan lemang atau ketupat.
Di Kelantan, kawasan sekitar Jalan Kubur Maras, Kampung Langgar, Kota Bharu ialah kawasan pengeluar serunding yang begitu popular dan sudah terkenal sejak beberapa dekad lalu.
Kini, generasi yang mewarisi perusahaan itu perlu menyediakan antara 150 hingga 300 kilogram (kg) serunding sehari sejak bulan Ramadan sehingga Syawal bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Perniagaan Serunding Salma yang terkenal di Kampung Langgar kini sudah memasuki perusahaan generasi keempat.
Pengusaha generasi ketiganya, Rahinah @ Salma Yunus, 66, yang merupakan pewaris perusahaan tersebut daripada datuk dan bapanya memberitahu, dia mula menceburi perniagaan keluarganya secara turun-temurun itu sejak berusia 15 tahun lagi.
Katanya, arwah datuknya memulakan perniagaan serunding selepas daging lembu yang dijualnya di Pasar Besar Siti Khadijah tidak habis sekitar tahun 1960-an.
“Arwah datuk yang dipanggil Cek Embun merupakan penjual daging dan penyembelih lembu. Pada ketika itu tidak ada peti ais, jadi daging yang tidak habis dijual direbus supaya tidak rosak.
“Justeru itu, timbulnya idea untuk memasak serunding dan dijual kepada pelanggan dengan harga berpatutan menyebabkan ia mula digemari ramai,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu baru-baru ini dalam lawatan menerokai produk-produk pelancongan di negeri Kelantan oleh Tourism Malaysia Kelantan.
Tambah Salma, bapanya kemudian mewarisi perniagaan itu daripada datuknya. Katanya, sejak era perusahaan bapanya, serunding mereka mendapat permintaan yang amat menggalakkan daripada pelanggan.
“Setelah bapa saya meninggal dunia, pembuatan serunding itu diwariskan kepada saya bagi meneruskan legasi perusahaan serunding ini.
“Sejak itu, serunding kami yang dinamakan Serunding Salma mendapat permintaan sangat tinggi sebagai juadah yang mudah dihidangkan kepada pekerja agensi-agensi kerajaan khususnya askar-askar ketika berada di perbatasan,” katanya.
Dia yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik berkata, perniagaannya pada masa itu menggunakan cara memasak serunding secara tradisional dengan menggunakan tenaga manusia sepenuhnya bagi menyiapkan tempahan pelanggan.
Bertitik tolak daripada itu, dia menyediakan resipi sebagai panduan kepada ahli keluarga untuk memasak serunding mengikut piawaian yang ditetapkan bagi memastikan rasa dan keenakannya adalah sama.
Kualiti
Kini legasi Serunding Salma diwarisi oleh anak perempuannya, Suzieyana Mat, 27.
“Sejak di bangku sekolah lagi, saya suka melihat emak melakukan proses memasak serunding yang mengambil masa kira-kira lapan jam bagi menghasilkannya.
“Kita akan mengambil 50kg daging segar sehari untuk diproses. Dagingnya akan direbus sehingga empuk supaya mudah dileraikan,” katanya yang merupakan pengusaha generasi keempat.
Suzieyana yang juga merupakan Pengurus Besar Serunding Salma memberitahu, peringkat seterusnya adalah menggaul daging bersama bahan-bahan rempah-ratus, bawang putih, bawang merah, halia, lada, serai, gula dan sedikit garam.
Selanjutnya, daging tersebut akan dimasukkan ke dalam periuk kawah besar bersama santan sehingga pecah minyak dengan menggabungkan kaedah tradisi dan moden menerusi penggunaan mesin untuk menggoreng serunding sehingga masak.
“Ia digoreng sehingga kering sebelum dibungkus dan dijual kepada pelanggan.
“Bagi memastikan keenakan rasanya dan jaminan kualiti, saya akan proses mengikut permintaan pelanggan. Mengikut kajian daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ketahanan serunding kami melebihi enam bulan,” jelasnya yang kini mengembangkan produk serundingnya kepada ayam dan ikan.
Menurutnya, operasi membuat serunding dimulakan seawal pukul 7 pagi hingga 4 petang pada setiap hari.
Anak bongsu daripada 10 adik-beradik itu berkata, aspek kualiti menjadi perkara utama yang dititikberatkan supaya warisan Serunding Salma terus kekal dipertahankan.
“Alhamdulillah, sehingga kini, kita mendapat permintaan tinggi di setiap pelosok Malaysia melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram. Kami tidak putus menerima tempahan secara borong dari Kuala Lumpur dan Johor.
“Kebiasaannya, mereka pasti akan membeli secara pukal tidak kurang 1kg serunding sama ada daging, ikan dan ayam,” tuturnya.
Keenakan Serunding Salma turut menjadi tarikan kepada seorang pelanggannya yang datang jauh dari Klang, Selangor ke Kelantan semata-mata untuk mendapatkannya sebagai juadah hari Lebaran.
Fareez Sukim, 29, berkata, Serunding Salma menjadi pilihannya untuk dihidangkan kepada tetamu yang bertandang ke rumah pada Hari Raya Aidilfitri.
“Saya pasti akan berkunjung ke sini bagi mendapatkan serunding yang segar dan terbaik bagi sambutan Aidilfitri. Saya harap generasi muda hari ini dapat menghargai tradisi turun-temurun ini,” katanya.











