LONDON – Pep Guardiola mengesahkan bahawa dia tidak akan meninggalkan Manchester City untuk bersama Juventus.
Guardiola sebelum ini dikaitkan dengan juara Serie A selepas ketiadaan Massimiliano Allegri.
Juventus bagaimanapun menafikan khabar angin yang mereka ada menghubungi Guardiola yang berjaya membawa City merangkul kejuaraan trebel domestik musim ini.
Namun, laporan media Itali tetap mengaitkan bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu sebagai sasaran utama Old Lady.
Guardiola akhirnya menamatkan segala spekulasi dengan menegaskan dia akan kekal di dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas menerima sokongan padu daripada penyokong City.
“Tiada tempat yang lebih menarik untuk beraksi selain England atau memegang jawatan pengurus di England.
“Saya boleh bandingkan dengan Sepanyol dan Jerman, saya tidak pernah ke negara lain tetapi mungkin keadaannya sama.
“Seandainya saya ke Itali, ia hampir sama dengan Sepanyol.
“Tiada tempat yang lebih baik. Di tempat lain, penyokong akan mengejek pasukan sekiranya awak tidak menang atau beraksi dengan buruk tetapi di sini (England) mereka sentiasa memberikan sokongan penuh.
“Saya memakai baju biru muda, saya adalah sebahagian daripada awak semua (City),” katanya.-AGENSI











