KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat kerugian lebih RM240,000 apabila membuat pemindahan wang ke akaun lain selepas diperdaya oleh individu yang menggunakan alamat e-mel hampir sama dengan sebuah syarikat pembekal minyak kenderaan dalam kejadian di Lanang, Sibu, Sarawak.
Memetik portal Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kesilapan itu disedari oleh akauntan wanita berumur 37 tahun selepas menerima satu e-mel daripada sebuah syarikat di Singapura pada pukul 3.46 petang pada 17 Mei lepas.
“E-mel daripada syarikat pembekal minyak kenderaan itu memaklumkan bahawa mereka belum menerima bayaran daripada syarikat pengadu, sedangkan pengadu pernah membuat pembayaran sebanyak USD57,834.17 (RM240,879.36) melalui sebuah bank tempatan ke satu akaun bank luar negara (England) pada 7 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pengadu kemudian membuat semakan semula pada e-mel yang pernah diterimanya pada 30 April lalu dan mendapati alamat e-mel yang digunakan adalah berlainan.
“Hanya satu huruf berbeza iaitu **@gufoil-seasia.com sedangkan alamat email yang sebenar adalah **@gulfoil-seasia.com dan kesilapan ini telah menyebabkan pengadu membuat pembayaran ke akaun yang lain,” jelasnya lanjut.
Menyedari dirinya ditipu, pengadu tampil ke balai polis di sini untuk membuat laporan polis.
“Suspek telah berjaya memperdayakan pengadu dengan menghantar e-mel yang mengandungi butiran akaun yang tidak betul sehingga menyebabkan pengadu memindahkan wang ke akaun yang lain,” katanya lagi.
Stanley menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN ONLINE











