KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97 turun sebanyak tiga sen seliter iaitu daripada RM2.41 seliter kepada RM2.38 seliter bagi tempoh 22 Jun sehingga 28 Jun ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.08 seliter serta harga runcit diesel juga kekal pada paras RM2.18 seliter.
“Penurunan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia yang telah menunjukkan trend penurunan susulan penurunan purata harga minyak mentah Brent berbanding minggu sebelumnya.
“Berdasarkan pengiraan di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.08 seliter (bersamaan dengan had
penetapan harga runcit yang telah ditetapkan oleh Kerajaan) dan RM2.19 seliter masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Guan Eng, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat. – UTUSAN ONLINE











