KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sudah mula mencongak strategi dalam mengharungi cabaran yang lebih sengit pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadual bermula pada September depan.
Skuad negara memulakan kempen kelayakan awal dengan bergaya setelah mencatat kemenangan besar ke atas Timor Leste dengan agregat 12-2 pada aksi playoff yang berakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Bagaimanapun, cabaran sebenar buat Cheng Hoe adalah di pusingan kedua nanti apabila skuad kendaliannya bakal diundi bersama-sama 40 pasukan terbaik Asia termasuk pilihan utama seperti Qatar, Jepun, Korea Selatan dan Australia.
Meskipun puas melihat prestasi yang dipamerkan anak-anak buahnya sepanjang aksi playoff menentang Timor Leste, namun Cheng Hoe mengakui mereka tidak boleh terlalu selesa dengan keputusan itu kerana ujian sebenar adalah di pusingan kedua nanti.
“Kita akan jumpa pasukan lebih kuat dan jauh lebih baik daripada kita pada pusingan kedua yang akan bermula September ini. Justeru, saya menuntut agar semua pemain pasukan ini bersedia dari sekarang kerana peringkat seterusnya adalah cabaran sebenar buat mereka.
“Ini kerana kita berpotensi untuk diundi bersama pasukan-pasukan gergasi Asia lain seperti Iran, Jepun, Qatar dan Australia. Sudah tentu ujian dan tekanan untuk beraksi pada pertemuan tersebut adalah lebih hebat,” katanya.
Cheng Hoe ditemui pemberita selepas menyaksikan anak-anak buahnya menewaskan Timor Leste 5-1 pada aksi playoff kedua menerusi jaringan hatrik Shahrel Fikri Md. Fauzi dan satu gol masing-masing daripada Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh.
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Cheng Hoe mengakui gembira dengan barisan pemainnya yang berjaya menjalankan tanggungjawab dengan cukup baik terutamanya Shahrel Fikri, Akhyar, Sumareh dan juga penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha.
“Shahrel sangat bekerja keras dalam sesi latihan dan telah membuktikan bahawa dia layak diletakkan dalam kesebelasan utama kali ini. Begitu juga dengan Akhyar yang cukup bagus. Namun, sumbangan pemain-pemain lain seperti Norshahrul juga tidak boleh dipertikai walaupun dia gagal menjaringkan gol pada perlawanan malam ini (kelmarin),” katanya.











