KUALA TERENGGANU 12 Jun – Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencederakan isterinya hanya kerana tidak diberi duit raya anak berjumlah RM10 pada minggu lalu.
Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Hafiz Man, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Hafiz didakwa mencederakan isterinya, Nazirah Mat Noor, 31, di rumah mereka di Kampung Titian Kulat, Gong Pak Damat di Kuala Nerus kira-kira pukul 12 tengah hari pada 6 Jun lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa memukul isterinya dengan papan selaju sehingga menyebabkan wanita tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Abdul Hafiz turut didakwa melemparkan sebuah kereta mainan yang mengenai dahi Nazirah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Isnin lalu media melaporkan isteri mekanik itu dicederakan suaminya ketika cuba menghalang tertuduh apabila memukul anak lelaki mereka yang berusia 11 tahun.
Abdul Hafiz dikatakan berang kerana kanak-kanak itu enggan memberikan duit raya sebanyak RM10 kepadanya untuk membeli kad tambah nilai prabayar. – UTUSAN ONLINE











