JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri bercadang untuk melaksanakan projek Revolusi Hijau bagi membangunkan tanah-tanah terbiar di negeri ini dalam tempoh lima bulan akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, projek itu membabitkan tanah kerajaan negeri dan Pusat.
“Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Johor telah bersetuju dengan pelaksanaan projek ini yang dijangka akan dimulakan dalam tempoh lima bulan akan datang.
“Setakat ini dianggarkan hampir 1,000 hektar tanah terbiar di kawasan agensi kerajaan sahaja, ini tidak termasuk di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang di ibu Pejabatnya, di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE











