KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah PATI yang dijalankan di sekitar ibu negara selama dua hari bermula semalam.
Operasi yang bermula pada petang semalam dan berakhir pada pukul 5.30 pagi tadi disertai oleh 197 pegawai dan anggota polis serta enam anggota daripada Jabatan Imigresen Malaysia.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, operasi tersebut dijalankan di beberapa kawasan antaranya di Setapak, Stesen Bas Kotaraya, Chow Kit, Jalan Tun Sambathan, Sri Petaling dan Jalan Tun Razak.
“Pihak polis telah menjalankan pemeriksaan terhadap 271 warga asing dan daripada jumlah tersebut, seramai 94 orang telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Daripada jumlah tersebut, 31 daripadanya adalah warga Bangladesh, Myanmar (28), Indonesia (11) dan Afrika (11),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mazlan menambah, tindakan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan menetap di negara ini tanpa pas dan permit yang sah dan akta-akta lain yang berkaitan.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang untuk tindakan selanjutnya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Pihak Polis Kuala Lumpur memandang serius terhadap isu kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang telah menyumbang kepada kejadian jenayah di negara ini dan operasi sebegini akan diteruskan untuk membasminya,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentangnya boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – K! ONLINE











