Polis sahkan terima dua laporan kematian mengejut Orang Asli - Utusan Malaysia

Polis sahkan terima dua laporan kematian mengejut Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Polis mengesahkan menerima  dua laporan kematian mengejut penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, siasatan kes kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, laporan kematian itu diterima pada 29 Mei lalu dan petang semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Seorang lelaki Orang Asli berusia 30 tahun telah meninggal dunia di sebuah pondok berhampiran Lombong Bijih Aring 11.

“Manakala, pada pukul 4 petang semalam seorang lagi wanita Orang Asli berusia 21 tahun telah dilaporkan mati secara tiba-tiba di kampung itu.

“Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah disebabkan ‘Pneumonia’  atau jangkitan paru-paru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Orang Asli suku kaum Batek yang tinggal di Kuala Koh di sini mahu pihak berkuasa segera menyiasat punca kematian penduduk yang mati secara tiba-tiba selepas jatuh sakit sejak sebulan lalu.

Mereka mendakwa penduduk yang meninggal dunia telah dikebumikan secara adat selepas mereka hilang selera makan, badan menjadi kurus dan batuk.

Penduduk juga mendakwa mereka tidak mengetahui punca sakit yang menyerang mereka disebabkan penyakit tibi atau pencemaran bahan kimia lombong bijih besi terhadap sumber air tadahan mereka.

Sehubungan itu, petang semalam, Mohd. Taufik bersama beberapa anggotanya telah membuat pemantauan di Kampung Kuala Koh. 

Tambah Mohd. Taufik pada hari ini, agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Kesihatan turut berada di lokasi bagi melihat keadaan dan membantu menghantar penduduk yang sakit ke hospital.

Katanya, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi tentang kematian yang menimpa penduduk Orang Asli berkenaan. – K! ONLINE 
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini