Polis rakam keterangan Azmin hari ini atau esok - Utusan Malaysia

Polis rakam keterangan Azmin hari ini atau esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka memberikan keterangan kepada polis berhubung video lucah sama ada hari ini atau esok.

Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Muhammad Hilman Idham berkata, pihaknya telah dimaklumkan secara rasmi oleh polis semalam yang memohon tarikh dan waktu sesuai Mohamed Azmin untuk memberikan keterangan.

Kata beliau, pihaknya di peringkat pejabat menteri sedang berbincang untuk memberikan keutamaan kepada polis bagi merakamkan kenyataan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun jadual hari ini dan esok juga agak ketat dan kita masih teliti waktu. Cuma saya arahkan sama ada ia dibuat hari ini atau esok.

“Tempat dan lokasi belum dikenal pasti. Apa-apa pun, kita akan maklumkan kepada media kemudian,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebelum ini memaklumkan pihaknya akan memanggil Mohamed Azmin untuk diambil keterangan berhubung kes video lucah yang dikaitkan antaranya bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Sementara itu, berhubung proses mengambil keterangan berlangsung hari ini, Muhammad Hilman berkata, beliau baru sahaja dimaklumkan oleh peguam bahawa pihak polis tidak jadi merekod kenyataannya.

Katanya lagi, pihak IPD Sepang telah memaklumkan kenyataan terhadap beliau pada 14 Jun lalu sudah mencukupi.

“Tujuan polis ambil kenyataan saya berhubung laporan dibuat Haziq yang mengatakan saya mengugut beliau.

“Sebenarnya kenyataan itu telah pun diambil sekali ketika saya buat laporan polis pada Jumaat lepas, malah kes ini diuruskan secara terus oleh Bukit Aman,” katanya.

Muhammad Hilman sebelum ini memaklumkan beliau dipanggil polis hari ini untuk memberikan keterangan membabitkan dakwaan ugutan oleh Haziq Abdullah.

Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama itu sebelum ini membuat laporan polis dan menuduh Muhammad Hilman melakukan ugutan ke atasnya dalam satu pertemuan berlangsung 11 Jun lalu, kira-kira pukul 2.40 petang di Zest Coffee House, Hotel Marriot di sini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini