Polis Kuala Lumpur tahan 62 warga asing - Utusan Malaysia

Polis Kuala Lumpur tahan 62 warga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sebanyak 62 warga asing termasuk 13 warga Afrika ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Lembah Klang bermula Jumaat sehingga semalam.

Operasi tersebut dijalankan oleh 177 pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Changkat

Bukit Bintang, Endah Promenade Sri Petaling, Apartmen Connaught, Cheras; Jalan Danau Niaga, Setapak; Metro Prima Kepong dan Kepong Baru.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah memeriksa 136 warga asing dalam operasi berkenaan.

“Selain 13 warga Afrika, kita juga menahan 14 warga Bangladesh, Myanmar (13), India (9), Thailand (6), Pakistan (4) dan masing-masing seorang dari Vietnam, Nepal dan Laos.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan akta-akta yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, warga asing yang ditahan dalam operasi tersebut dibawa ke Lokap Cheras dan Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius isu kebanjiran warga asing terutamanya warga Afrika yang menyumbang ke arah kejadian jenayah berlaku di negara ini dan operasi sama akan diteruskan bagi membanteras permasalahan kebanjiran warga asing sekali gus menurunkan kadar jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 9999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini